SUZUKI Motorcycle India Private Limited (SMIPL) memperkenalkan Suzuki Hayabusa (2018) pada harga ₹13,87,623 (RM84,973). Harga jualan superbike pantas itu masih kekal sama tanpa sebarang kenaikan. Terima kasih kepada pasaran dua roda India begitu besar yang membolehkan model itu dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Suzuki di Manesar, Gurugram.
Pasaran India menerima tiga pilihan warna: Pearl Mira Red (merah), Pearl Glacier White (putih) dan Glass Sparkle Black (hitam). Selain pilihan warna baru, tiada perubahan mekanikal diperkenalkan. Rekabentuk badan berlekuk menjadi ciri aerodinamik Hayabusa yang membantu jentera itu membelah angin dengan pantas.
BACA >>> MotoGP 2018 Jadi Ilham Skema Warna Baharu Suzuki GSX-R1000
ENJIN 1.3L, 194hp
Hayabusa didatangkan dengan paduan kluster meter analog dan digital bersama padanan tunggangan sporty. Enjin 4-silinder 1340cc DOHC, penyejukan cecair dan suntikan bahan api mampu menawarkan kuasa 194hp dan tork 155Nm.
Hantaran kuasa kepada roda belakang disalurkan menerusi transmisi 6-kelajuan dengan Sistem Bantuan Klac Suzuki (SCAS). Enjin Hayabusa merangkumi pemetaan tiga kuasa yang boleh dikawal menerusi Pilihan Mod Tunggangan Suzuki.
Pesaing kepada Kawasaki ZX-14R, berharga ₹19.7 (RM116,356) itu, dipasangkan fork terbalik (USD) KYM 43mm boleh laras sepenuhnya di depan dan monoshock di belakang. Kuasa membrek dipertaruhkan pada dua brek cakera 310mm bersama kaliper Monoblok Brembo di depan, dan brek cakera 260mm dengan kaliper tunggal di belakang. Pengendalian turut dimantapkan dengan pilihan tayar Bridgestone BT-015, dibangunkan khusus untuk Hayabusa.
Apakah jentera seberat 266kg itu akan tiba di Malaysia? Rasanya tidak perlu berharap kerana Suzuki Assemblers Malaysia (SAM) seakan sudah tidak wujud di Malaysia. Sayang sebenarnya teknologi yang ditawarkan Suzuki bukanlah tidak bagus, cuma mungkin kesilapan strategi pemasaran. Kini jenama motosikal yang satu itu di Malaysia memang seperti hidup segan, mati tidak mahu.
Ayuh bangkit semula Suzuki! Kali terakhir SAM melancarkan produk adalah pada Ogos tahun lalu menerusi model skuter maksi, Burgman 400. Hayabusa juga muncul di pasaran tempatan pada 2014 bersama tiga model, iaitu GSX1250FA, the GSX-R1000 dan V-Strom 1000.
SPESIFIKASI
SUZUKI HAYABUSA (2018)
ENJIN: 4-lejang, 4-silinder, penyejukan cecair, DOHC
GEREK x LEJANG: 81.0 mm x 65.0 mm
SESARAN: 1340cc
NISBAH MAMPATAN: 12.5:1
SISTEM MINYAK: Suntikan bahan api
KUASA MAKSIMUM: 194hp @ 9,800rpm
TORK MAKSIMUM: 155Nm @ 10,200rpm
TRANSMISI: 6-kelajuan constant mesh
P x L x T: 2190mm x 735mm x 1165mm
JARAK RODA: 1480mm
JARAK KELEGAAN TANAH: 120mm
BERAT: 266kg
KAPASITI MINYAK: 21 liter
SUSPENSI DEPAN: Teleskopik
SUSPENSI BELAKANG: Jenis Link (link type)
BREK DEPAN: Cakera berkembar
BREK BELAKANG: Cakera tunggal
TAYAR DEPAN: 120/70ZR1M/C (58W)
TAYAR BELAKANG: 190/50ZR17M/C (73W)
Leave a Reply