LAGI model genit untuk pasaran Jepun, Suzuki XBEE (disebut: cross-bee) baharu dilancarkan secara rasmi selepas melakukan debut di Pameran Motor Tokyo, Oktober lalu sebagai model konsep.
Sekali pandang, rekabentuk XBEE mengambil ilham model SUV MINI Countryman, terutama jika melihat rupa depan dan belakang. Tidak keterlaluan juga jika mengatakan wagon crossover itu ialah versi Hustler (juga model Suzuki) yang direka semula. Ruang dalaman berkongsi banyak ciri dengan (Suzuki) Ignis seperti roda stereng, kluster instrumen dan unit kawalan suhu.
CROSSOVER GAYA RETRO
XBEE memiliki dimensi panjang 3,760mm, lebar 1,670mm, dan tinggi 1705mm, dengan jarak roda 2,435mm serta dibina berasaskan platform baharu HearTect, yang kuat dan ringan. Selain model ini, model lain yang dibangunkan menggunakan HearTect ialah Baleno, Ignis, Swift dan Dzire.
XBEE ditawarkan dalam dua varian: MZ dan MX yang kedua-duanya terdapat dalam opsyen pacuan 2-roda (2WD) dan 4-roda (4WD).
BACA >>> Maruti Suzuki Dzire (2018) - 'Swift Sedan' Ini Bakal Jadi Kegilaan India
Semua varian dikuasakan enjin petrol K10C Boosterjet 1.0L suntikan terus dan sistem hibrid ringan (mild-hybrid). Enjn 3-silinder dengan pengecas turbo itu mampu meledakkan kuasa 98hp pada 5,500rpm dan tork 150Nm (1700-4,000rpm), manakala motor sistem hibrid ringan menawarkan kuasa 3.05hp pada 1,000rpm dan tork 50Nm (100rpm) dengan transmisi automatik 6-kelajuan sama ada 2WD dan 4WD.
TEKNOLOGI TERMAJU
Varian 4WD memuatkan dua mod pemanduan: Sport dan Snow, dan turut memiliki ciri Kawalan Grip, yang berfungsi membantu kenderaan meredah permukaan jalan licin dan berlumpur, serta Kawalan Turun Bukit (HDC).
Spesifikasi keselamatan lain ialah kamera paparan 3D 360° dan Sokongan Keselamatan Suzuki (SSS) menerusi sistem mitigasi rempuhan menerusi Sokongan Brek Dwi Sensor (DSBS) dan Sokongan Brek Sandaran (BBS) yang kali pertama dipasang pada model kompak Suzuki.
Luaran XBEE menampilkan lampu utama LED, lampu kabus LED, dan rim aloi 16-inci, manakala ruang dalaman menyerlahkan roda stereng kulit, termasuk tombol gear, masukan tanpa kunci, kawalan penyaman udara automatik, dan kawalan jelajah.
BACA >>> India Lancar Maruti Suzuki CelerioX, Hatchback Mini Versi Crossover
Outdoor Adventure menambah panel paten kayu, manakala Street Adventure menampilkan aksen warna kontras untuk rupa luaran dan panel tema peta untuk trim dalaman. Pembeli juga ditawarkan opsyen warna dua tona seperti memilih badan berwarna kuning dan bumbung hitam. Harga model 2WD bermula pada ¥1,765,800 (RM63,612), manakala varian teratas versi AWD dijual pada harga¥2,145,960 (RM77,307).
Apakah Suzuki bakal menjadi raja kereta kompak baru?
Leave a Reply