KHAIRUL Idham Pawi mencipta kegemilangan dalam saingan Kejuaraan Moto3 Junior Dunia apabila pelumba Honda Team Asia itu berjaya melakar dua podium di saingan pusingan ketiga Kejuaraan CEV Repsol FIM di Litar Catalunya.
Khairul yang bermula dari barisan depan mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya memberi saingan di kelompok hadapan sepanjang Perlumbaan 1 dan 2 sebelum berjaya menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan kedua dengan masa 30'03.480s setelah bersaing sengit bersama juara, Aron Canet.
Bekas juara Asia Dream Cup itu sekali lagi beraksi cemerlang pada Perlumbaan 2 apabila saling bertukar kedudukan pendahulu sebelum masalah jentera pada penghujung perlumbaan.
Khairul terpaksa beraksi lebih selamat untuk menamatkan 16 pusingan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan masa 30'08.601s di belakang juara, Joan Mir dan naib juara, Canet, masing-masing dengan masa 30’07.546s and 30’07.618s.
Meskipun sedikit kecewa dengan aksi perlumbaan kedua, pelumba berusia 16 tahun yang turut beraksi bersama pasukan Kozi Yam Honda Racing dalam kelas CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS itu kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 63 mata, sekadar 23 mata di belakang pendahulu, Canet.
Pusingan 4 Kejuaraan Moto3 Junior Dunia akan berlangsung di Litar Motorland Aragon (Sepanyol) pada 5 Julai ini.
KEPUTUSAN
Perlumbaan 1
1.Aron Canet (ESP) 30’03.397s
2.Khairul Idham Pawi (MAS) 30’03.480s
3.Nicola Bulega (ITA) 30’05.162s
Perlumbaan 2
1.Joan Mir (ESP) 30’07.546s
2.Aron Canet (ESP) 30’07.618s
3.Khairul Idham Pawi (MAS) 30’08.601s
Kedudukan Keseluruhan
1.Aron Canet (ESP) 90 mata
2.Khairul Idham Pawi (MAS) 63 mata
3.Nicola Bulega (ITA) 55 mata
Leave a Reply