HONDA Jazz memang jadi kegemaran ramai peminat kereta sejak generasi pertama lagi. Kini selepas memasuki generasi keempat, model kompak itu baru-baru ini diiktiraf majalah What Car? sebagai 'Kereta Kecil Paling Reliabel' berasaskan Kajian Reliabiliti 2017. Apa yang mengagumkan, pemilik Jazz mendakwa mereka tidak menghadapi sebarang masalah langsung.
Kajian tersebut diterbitkan majalah What Car? yang merupakan antara perintis majalah pengguna automotif di Britain. Keputusan kajian diperoleh daripada tinjauan ke atas 14,208 pemilik kereta tentang sebarang permasalahan dihadapi mereka sepanjang tempoh 12 bulan lalu.
BACA >>> Perhatian!!! Honda Panggil Balik HR-V (2016) untuk Tukar Bar Stabiliser Depan
PELBAGAI MASALAH DITINJAU
Kategori masalah pula dipecahkan kepada 14 bahagian seperti bateri, badan kereta, brek, elektrik enjin, ekzos, lampu luaran, sistem bahan api, kotak gear/klac, kemasan dalaman, elektrik bukan enjin, stereng dan suspensi. Selain itu, kos dan tempoh pembaikan turut dijadikan penanda aras tahap kerosakan dan realibiliti.
Menurut Majalah What Car?, tiada seorang pun pemilik Jazz yang mendaftar dalam tinjauan, melaporkan tentang kerosakan kereta mereka, sekali gus melayakkan model buatan pengeluar dari Jepun itu menerima markah reliabel sempurna.
BACA >>> #PanduUji: Honda Jazz Sport Hybrid Si Kompak Kecil Tapi Berbisa
Selain Jazz, dua lagi model Honda, Civic Hatchback dan Tourer turut mencatat markah tinggi dalam kategori kereta famili dengan catatan skor reliabel 94.5 peratus.
Selain kereta baharu, kajian turut membabitkan pemilik kenderaan lama (4-10 tahun). Menariknya, Honda Civic Diesel memperoleh skor reliabel 100 peratus kerana tiada seorang pun pemilik model itu membuat laporan kerosakan. Menurut editor What Car?, Steve Huntingford, model Honda meraih skor terbaik dalam kajian kali ini kerana rata-rata pemilik jenama itu mengaku gembira dengan kereta yang mereka miliki.
Leave a Reply