INI adalah berita yang kami terima! Isuzu Malaysia bakal melancarkan Isuzu MU-X pada 4 Jun 2015, serentak meraikan ulang tahun ke-10 Isuzu D-Max.
Biarpun belum dilancarkan secara rasmi, sekumpulan media termasuk tim Pandulaju.com diberi peluang memandu uji model ini ke Cameron Highland. Laporan penuh pandu uji Isuzu MU-X akan menyusul nanti. Walau bagaimana, tempahan sudah dibuka dan orang ramai boleh pandu uji model ini di pusat pameran Isuzu berdekatan.
Secara ringkasnya, Isuzu MU-X adalah model SUV dengan kapasiti 7-tempat duduk. Dari luaran, rekabentuk tampak sama seperti 'abangnya', Isuzu D-Max.
Ya, MU-X menggunakan platform yang sama seperti D-MAX. Cuma ada beberapa kelainan yang boleh dilihat. Sudah pasti pelancaran model serba sedikit memberi kesan buat pesaingnya.
HARGA: (termasuk insurans dan GST) - Diimport sepenuhnya (CBU) Thailand
- Isuzu MU-X 2.5L 4x2 (AT) - RM151.944.56
- Isuzu MU-X 2.5L 4x4 (AT) - RM164.969.84
ENJIN:
Isuzu MU-X dipacu unit enjin diesel commonrail 2.5L 4JK1-TCX 4-silinder dengan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS). Hadir bersama kotak gear automatik 5-kelajuan, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 134hp pada 3,400rpm dan tork 320Nm (1,800-2,800rpm).
LUARAN:
Melihat keseluruhan rekabentuk MU-X, ia tampil dengan wajah yang hampir sama seperti model D-Max. Antara kelainannya adalah;
- Lampu utama projektor dengan nyalaan siang LED
- Lampu kabus dengan luas (4x4 saja)
- Cermin depan lebih luas
- Garisan rekaan badan berbentuk baji
- Penggunaan fender maskular
- Gril baharu
DALAMAN
Sebaik memasuk ruang kabin MU-X, anda akan 'dihidangkan' dengan pelbagai ciri-ciri baharu yang tampak premium. Antaranya;
- Tempat duduk dibaluti kulit berwarna Anthracite
- Kerusi hadapan dengan kuasa elektrik
- Panel instrumen baharu
- Sistem audio Blaupunkt dengan sambungan Bluetooth dan nagivasi GPS
- Skrin monitor DVD pada kerusi baris kedua
- Kehadiran corong penghawa dingin di baris kedua dan ketiga
- 12 ruangan tempat letak minuman
KESELAMATAN
- 2 beg udara SRS
- Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC)
- Sistem Kawalan Traksi (TCS)
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
- Agihan Brek Elektronik (EBD)
- Bantuan Brek (BA)
Sepanjang pemanduan model ini ke Cameron Highland, saya dapat merasakan ia cukup mudah dikendalikan dan seronok dipandu dalam keadaan santai.
Tindak balas enjin juga tidak mengecewakan walaupun penghantaran tork tidak begitu memberangsangkan. Apa-apapun, Isuzu mempunyai alasannya tersendiri dan saya akan ulaskan dalam laporan pandu uji nanti.
Sama seperti model lain, Isuzu MU-X hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000km perbatuan (mana tiba dahulu).
Leave a Reply