PELUMBA CP115, Tengku Amirul Haffiruddin mahu mengejar kemenangan hatrik dalam pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 1 dan 2 Mei depan.
Tengku Amirul yang juga pelumba Motul Yamaha YY Pang itu sudah meraih dua kemenangan berturut-turut pada Pusingan 1 di Temerloh, Pahang diikuti Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang dan kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 50 mata mengatasi rakan sepasukan, Mohd Izzat Zaidi Salehan (29 mata).
Meskipun begitu, pelumba kelahiran Terengganu itu akui ia bukan tugas mudah terutama berdepan cabaran sengit rakan sepasukan, Mohd Izzat, Ahmad Syukran dan juga Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Yamaha Maju Motor) yang muncul naib juara di Temerloh
"Saya sedar ia bukan mudah untuk dicapai, namun pasti menjadi satu pencapaian menakjubkan seandainya saya dapat memenangi gelaran ketiga berturut-turut jika menang di Muar minggu ini.
"Cuma ia bukan tugas mudah memandangkan perlumbaan kali ini berlangsung di litar yang baru dan berbeza. Semua pasukan mempunyai kelebihan di mana pasukan yang menemui pelarasan terbaik dengan cepat mempunyai lebih peluang untuk menang," jelas Tengku Amirul.
Tidak seperti dua musim lepas di mana kejuaraan Cub Prix dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim, kali ini perlumbaan akan berlangsung di Dataran Tanjung Emas, antara lokasi pelancongan menarik di Muar.
Perlumbaan akan dijalankan di litar sepanjang 1.3km melawan arah jam dan mempunyai lima selekoh kiri, dua selekoh kanan dengan laluan lurus terpanjang sejauh 290 meter.
Leave a Reply