GO Auto secara rasmi melancarkan Haval H2 versi pemasangan tempatan (CKD) dengan menampilkan rekaan rim dan tambahan warna baharu, iaitu Haval Blue bersama pilihan warna sedia ada, Haval Red.
Buat masa ini, Haval H2 CKD hanya hadir dalam dua varian iaitu Comfort Auto dan Premium Auto, manakala versi Standard manual masih dalam perancangan.
HARGA
- Haval H2 CKD Comfort Auto – RM98,950
- Haval H2 CKD Premium Auto – RM101,950
* Harga termasuk insurans, GST dan cukai jalan.
Pengarah Eksekutif Go Auto, Datuk SM Azli Tan Sri SM Nasimuddin Kamil berkata, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak 2,100 unit Haval H2 CKD hingga 2018.
Tambahnya, Haval H2 CKD sudah sedia ada di 14 bilik pameran pengedar Haval seluruh negara. Malah, Haval H2 juga berada dalam senarai model-model Haval yang akan dieksport ke Batam, Indonesia dan Kemboja.
BACA >>> Che Ta Bawa Pulang Kereta Raya - Haval H2 'RQ2174' (Untunglah No. Plat Cantik)
ENJIN KEKAL SAMA – 1.5L TURBO
Haval H2 CKD masih mengekalkan spesifikasi sama, iaitu enjin petrol 1.5L VVT pengecas turbo. Dengan bantuan kotak gear automatik 6-kelajuan, SUV itu mampu menghasilkan kuasa sebanyak 147hp pada 5,600rpm dan tork 210Nm pada 2,200-4,500rpm.
Aspek rekaan luaran, Haval H2 CKD dipadankan dengan lampu halogen bersama lampu siang (DRL) LED. Profil gril dengan kemasan krom yang ternganga luas menyerlahkan lagi imej agresif dan lasak.
Selain rim dan warna baharu, semua ciri lain Haval H2 CKD adalah sama seperti versi CBU, seperti butang tekan-mula, masukan tanpa kunci, panel meter multi fungsi dan punat kawal roda stereng. Ini termasuk ciri penyaman udara dual zon automatik, sistem hiburan audio dan video, kerusi pemandu elektrik 5-tetapan, dan bumbung suria boleh laras.
Ciri keselamatan pula mengetengahkan 6 beg udara, iaitu dua di depan, dua sisi dan dua tirai, yang disepadukan bersama sensor dan kamera undur, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Program Stabiliti Elektronik (ESP) dan penyandar kepala aktif untuk meminimumkan kecederaan spinal.
BACA >>> Haval H6 Coupe 2.0L Turbo & Haval H9 4x4 Masuk Malaysia Tahun Ini - Harga Bermula RM115,000
5 BINTANG C-NCAP
Haval H2 CKD turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian perlanggaran dilakukan badan keselamatan China, C-NCAP.
Selain itu, Go Auto turut memperkenalkan pakej 'Jaminan Beli Balik' (Buy Back Guarantee) dengan menjamin harga 50 peratus nilai kenderaan dalam tempoh 5 tahun akan datang. Ini bermakna, HAVAL akan membeli semula Haval H2 anda pada harga 50 peratus nilai jualan jika pemilik menjual model itu dalam tempoh 5 tahun.
Sebarang maklumat lanjut mengenai Haval H2 CKD boleh layari www.haval.my
Leave a Reply