UMW Toyota Motor secara rasminya melancarkan Toyota Camry versi dipertingkat (facelift) dan Camry Hybrid yang juga model hibrid pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) pertama di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Shah Alam.
Toyota Camry 2015 ini ditawarkan dalam tiga varian iaitu 2.0E, 2.0G dan 2.5 Hybrid. Berbanding dengan model sebelumnya yang dijual pada harga di antara RM150,000 hingga RM181,000, UMW Toyota berjaya menurunkan harga Camry generasi ketujuh itu termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta insurans.
HARGA
- Toyota Camry 2.0 E: RM149,900
- Toyota Camry 2.0 G: RM159,900
- Toyota Camry 2.5 Hybrid: RM174,900
Untuk makluman, varian 2.5L enjin konvensional tidak lagi ditawarkan dan digantikan dengan 2.5L Hybrid. Menurut UMW Toyota, pihaknya tidak bercadang menawarkan varian terdahulu memandangkan model Hybrid adalah jauh lebih baik termasuk prestasi dan penjimatan bahan api.
PESAING
- Honda Accord: RM135,000 - RM170,000 (2.0L -2.4L)
- Mazda6: RM155,000 - RM185,000 (2.0L - 2.5L)
- Hyundai Sonata: RM139,000 - RM154,000 (2.0L sahaja)
- Kia Optima: RM146,000 (2.0L sahaja)
Menyentuh aspek jualan bagi tahun ini, UMW Toyota Motor menyasarkan penjualan sebanyak 9,000 unit Camry di mana 7,000 unit terdiri daripada varian hibrid manakala selebihnya enjin konvensional.
PRESTASI
Bagi varian 2.0L G dan E, kedua-duanya dilengkapi dengan kotak gear transmisi automatik 6-kelajuan. Dengan penggunaan enjin 6AR-FSE 4-silinder DOHC bersama VVT-iw (Variable Valve Timing – Intelligent Wide), ia mampu menghamburkan kuasa sebanyak 165hp pada 6,500rpm dan tork puncak 199Nm (4,600rpm).
Varian 2.5L Hybrid pula dijana unit enjin 2SR-FXE dengan gabungan motor elektrik Hybrid Synergy Drive System. Enjin 4-siliner DOHC dengan VVT-i itu mampu menghamburkan kuasa sebanyak 158hp dan tork puncak 213Nm manakala penggunaan motor elektrik pula menghasilkan kuasa 141hp. Secara keseluruhan, Toyota Camry 2.5 Hybrid ini memiliki kuasa maksimum sebanyak 203hp.
Dari aspek penggunaan bahan api, varian 2.0L mencatatkan penggunaan bahan api sebanyak 7.3L per 100km dan 2.5L Hybrid pula adalah 5.2L per 100km. Penjimatan ini dicapai apabila Camry Hybrid dipadankan dengan transmisi Electronically Controlled Continuosly Variable Transmission (e-CVT).
LUARAN
Melihat keseluruhan sosok badan Camry facelift ini, ia tampak lebih sporty dan menarik jika dibandingkan dengan model terdahulu.
Penggunaan lampu siang LED (Daytime Running Lights) dan kehadiran gril baharu nyata berjaya membuatkan ia ke arah yang lebih baik dan tidak lagi dikategorikan sebagai kereta 'orang tua'. Penambahan sistem dua ekzos juga membawa Camry ke tahap lebih baik jika dibandingkan dengan pesaingnya.
Lebih tampak garang, varian 2.0L dilengkapi dengan rim aloi baharu bersaiz 16 inci manakala 2.5L Hybrid menggunakan saiz 17 inci.
DALAMAN
Ruangan dalaman juga tidak kurang hebatnya apabila dilengkapi dengan tempat duduk dibaluti kulit bersama pelarasan tempat duduk hadapan secara elektronik bagi varian hibrid dan kerusi fabrik untuk varian 2.0L.
Ketiga-tiga varian didatangkan dengan ciri standard iaitu sistem kemasukan pintar dengan butang penghidup, panel kluster, paparan informasi dan meter kombinasi Optitron.
Aspek hiburan, Camry menawarkan skrin sesentuh bersaiz 7-inci dengan 10 pembesar suara JBL, sistem navigasi, pemain DVD dan sokongan MP3, USB, iPod serta sambungan Bluetooth.
KESELAMATAN
Aspek keselamatan, Camry Hybrid didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan baharu yang mengagumkan seperti 7 beg udara, Pemantau Titik Buta (Blind Spot Monitor), sistem pengawasan trafik belakang dan Nano-e TM iaitu sistem pembersihan udara daripada ions negatif.
Lebih menarik, ia juga menawarkan pengecas tanpa wayar yang pertama dalam kelasnya kepada pengguna untuk hanya meletak dan mengecas telefon pintas mereka.
JAMINAN BATERI 8 TAHUN
Sama seperti model Prius dan Prius C, UMW Toyota Motor menawarkan jaminan selama lapan tahun bagi bateri Camry Hybrid.
Hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,000km perbatuan (mana tiba dahulu), pengguna juga ditawarkan dengan lima pilihan warna menarik iaitu Grey Metallic, Medium Silver Metallic, Attitude Black, Silver Metallic dan White Pearl.
Leave a Reply