MOTOSIKAL paling murah dalam barisan famili BMW Motorrad, BMW G 310 R kini secara rasmi berada di pasaran Malaysia. Sudah semestinya kehadiran jentera roadster memberikan khabar gembiran buat mereka yang sudah lama mengidamkan motosikal BMW paling mampu milik.
Buat mereka yang mahu melihat lebih dekat BMW G 310 R, anda boleh kunjungi mana-mana bilik pameran BMW Motorrad terdekat dan tempahan juga sudah dibuka.
HARGA
- BMW G 310 R - RM26,900
* Harga atas jalan termasuk GST, tanpa insurans dan cukai jalan.
ENJIN 313CC, 34HP
BMW G 310 R dipadankan nadi 313cc silinder tunggal penyejukan cecair. Hasilnya mampu menghamburkan kuasa sebanyak 34hp pada 9,500rpm dan tork 28Nm (7,500rpm) serta mematuhi piawaian emisi Eropah, Euro 4.
Dari aspek bahan api, BMW G 310 R mencatatkan penggunaan 3.3L per 100km. Hantaran kuasa ke roda belakang diuruskan kotak gear 6-kelajuan.
Jentera ini seberat 158.5kg, manakala sistem suspensi depan daripada jenis fork terbalik (USD) dan suspensi belakang dipadankan lengan ayun aluminium berserta strut spring yang dipasangkan terus di atas.
Sama seperti semua barisan motosikal BMW lain, BMW G 310 R dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) sebagai ciri standard, yang menggabungkan satu sistem brek berkuasa dengan ABS dua saluran.
Roda depan dipasang brek cakera tunggal bersama kaliper 4-piston dan cakera brek berdiameter 300mm untuk memastikan jentera dapat dihentikan dengan stabil dan meyakinkan. Roda belakang disempurnakan kaliper apung 2-piston bersama cakera brek bersaiz 240mm.
BACA >>> KTM Duke 2017 Sah Masuk Malaysia Tahun Ini - Sila Kumpul Duit Siap-Siap !!!
PESAING
Apa yang pasti, BMW G 310 R bakal bersaing dengan KTM 390 Adventure, Kawasaki Versys 250 dan Suzuki V Strom 250. Persoalannya, mampukah model ini memberi cabaran kepada pesaing lain?
Kepada anda yang mahu mendapatkan motosikal BMW di bawah harga RM30,000, semestinya BMW G 310 R boleh dimasukkan dalam senarai pilihan. Cuma anda perlulah upgred dahulu lesen kepada B FULL sebelum berhajat mahu memilikinya.
Leave a Reply