NAZA Euro Motors, pengedar jenama Citroen di Malaysia membuka tempahan bagi dua model MPV terbaharunya, Citroen Grand C4 Picasso Petrol dan C3 yang masing-masing dijual pada anggaran harga RM183,000 serta RM105,000.
Jika anda masih ingat, Naza Euro sudah melancarkan Grand C4 Picasso Diesel iaitu model Citroen diesel pertama dibawa masuk ke pasaran tempatan pada November tahun lalu.
Mengambil masa kurang daripada lima bulan, ia kini memberikan lebih banyak pilihan buat rakyat Malaysia.
CITROEN GRAND C4 PICASSO PETROL
Tahukan anda model MPV terbaharu taruhan Citroen ini sudah memenangi pelbagai anugerah di peringkat global. Antaranya 'Best Seven-seat People Carrier', 'Family Car of the Year' dan 'MPV of the Year' di Anugerah Kereta tahunan UK.
Baiklah, bercerita perihal Grand C4 Picasso petrol, rekaan luaran adalah sama seperti varian diesel. Ia mengetengahkan imej mempesonakan selain memiliki ruangan kabin yang lebih luas. Dari pandangan depan, ia menampilkan rekaan baharu dengan kehadiran lampu LED 3D, membuatkan ia tampak lebih bergaya dan menawan.
Ruangan dalaman pula menjanjikan aspek keselesaan buat pemandu dan penumpang, membuatkan seakan berada di dalam kokpit penerbangan kelas pertama. Ya, model MPV tujuh tempat duduk ini dilengkapi kerusi depan elektrik dengan fungsi memori, urutan dan lumbar (bahagian bawah abdomen) untuk kerusi pemandu.
Ciri inovatif lain diperkenalkan adalah paparan dongak (head-up) berwarna di atas bilah transparen, butang penghidup tekan tanpa kunci (keyless), termasuk fungsi tutup dan buka kunci semudah menyentuh pemegang pintu. C4 turut dilengkapi sensor parkir depan dan belakang, brek parkir elektronik dan pengelap automatik.
Jika mahukan hiburan, C4 hadir dengan pelbagai ciri teknologi terkini seperti skrin sentuh tujuh inci, skrin panoramik HD 12 inci bersama sistem navigasi dan kamera undur.
Sejak diperkenalkan pada 2002, hampir 3juta unit sudah terjual dan menjadi antara model terlaris Citroen.
Dari pandangan luaran, C3 masih mengekalkan rekaan badan yang bulat tetapi dengan keistimewaannya yang tersendiri selain menampilkan ''Zenith Windscreen' untuk memberikan pandangan lebih luas buat pemandu dan penumpang.
Ruangan dalaman juga cukup selesa. Bahagian simpanan barangan pula menawarkan keluasan sehingga 300L dan sesuai bagi mereka yang mahu membeli-belah.
Aspek mekanikal, C3 dijana unit enjin 1.6L VTi iaitu penggunaan 'jantung' sama seperti model 208 dan DS3. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear automtaik 4-kelajuan.
Bagi mereka yang mahu melihat lebih dekat lagi kedua-dua model ini, bolehlah kunjungi pusat pameran Citroen berdekatan. Sehingga kini, Naza Euro Motor memiliki enam pusat pameran Citroen. Antaranya Citroen Glenmarie di Shah Alam, Citroen Puchong, NAZA Automall di Petaling Jaya, Citroen Penang, Citroen Juru Auto City dan Citroen Johor Bahru.
Maklumat lanjut berkaitan jenama Citroen. layari www.citroen.com.my atau hubungi 1-800-222-808.
Leave a Reply