
AIRASIA menawarkan tiket penerbangan tambang tetap pada kadar RM328 ke Sarawak dan RM398 (Sabah) bagi laluan sehala dari Kuala Lumpur, sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan rakyat Malaysia dapat pulang ke kampung halaman dengan tambang mampu milik, selain menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses ketika permintaan memuncak musim perayaan.
Menurut Loke, usaha tambang tetap itu mencerminkan peranan berterusan AirAsia dalam menyokong inisiatif kerajaan bagi mengurus lonjakan permintaan perjalanan, khususnya bagi laluan antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
Saya gembira melihat peranan berterusan AirAsia dalam menyokong usaha Kerajaan menguruskan permintaan perjalanan ketika musim perayaan melalui inisiatif seperti tambang tetap yang memberikan keyakinan kepada lebih ramai pengembara ketika merancang perjalanan pulang mereka, terutama mereka yang melakukan perjalanan antara Kuala Lumpur dan Sabah serta Sarawak.
"Tambang tetap ini bertujuan memberi kepastian kepada rakyat Malaysia ketika merancang perjalanan sempena perayaan dan menyokong penyatuan keluarga sempena sambutan hari yang amat bermakna," katanya.
Lebih 31,000 Tempat Duduk Disediakan
Sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri, inisiatif tambang tetap ini akan melibatkan 1,578 penerbangan, dengan penyediaan lebih 31,000 tempat duduk secara keseluruhan.
Bagi sambutan Tahun Baharu Cina, tempahan tiket dibuka bermula hari ini hingga 24 Februari 2026, untuk tempoh perjalanan antara 13 hingga 24 Februari 2026.
Sementara itu, tempahan bagi Aidilfitri turut dibuka bermula hari ini hingga 26 Mac 2026, dengan tempoh perjalanan ditetapkan antara 18 hingga 26 Mac 2026.
Baucar FLYSiswa RM400 Diteruskan
Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata, Kerajaan kekal komited membantu pelajar menerusi program FLYSiswa, yang menawarkan baucar perjalanan bernilai RM400 bagi meringankan kos penerbangan antara Kuala Lumpur dan Malaysia Timur.
Inisiatif FLYSiswa untuk tahun ini akan dilaksanakan pada minggu depan," katanya.
Karnival FLYSiswa 2026 pada 13 Januari
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) memaklumkan akan menganjurkan Karnival FLYSiswa 2026 pada 13 Januari 2026 bertempat di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian, Universiti Putra Malaysia, dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Menurut Kementerian, pelajar yang layak akan menerima baucar digital RM400 dalam bentuk kredit simpanan, yang boleh digunakan bagi pembelian tiket penerbangan kelas ekonomi sama ada sehala atau dua hala bersama syarikat penerbangan tempatan termasuk Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MASwings.
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply