
JENAMA kenderaan elektrik (EV) dari China, iCAUR Malaysia baru-baru ini melakukan previu kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik iCAUR V23 kepada umum, sekali gus memperkukuh kedudukan jenama itu dalam pasaran automotif tempatan.
Pada harga anggaran bermula RM145,000, iCAUR V23 ditawarkan dalam dua varian: 2WD (pacuan dua roda) dan iWD AWD (pacuan semua roda).
Rekabentuk Retro Moden, Teknologi Pintar
Pengarah Pemasaran iCAUR Malaysia, Daniel Lai berkata;
Model iCAUR 03 meletakkan asas kukuh dengan menzahirkan janji kami 'Born to Play'. Kini, iCAUR V23 hadir dengan gabungan rekabentuk retro moden, keupayaan lasak dan teknologi pintar yang pasti menarik minat pengguna di Malaysia."
iCAUR V23 direka untuk individu berjiwa muda, bergaya dan dinamik, iaitu mereka yang melihat kenderaan sebagai pelengkap gaya hidup moden dan penuh pengembaraan."
SUV elektrik segmen-C itu menampilkan kombinasi prestasi moden, keselamatan menyeluruh dan kepelbagaian fungsi, dengan rekabentuk yang memberi penghormatan kepada SUV off-road klasik.
Rekabentuk, dimensi dan konfigurasi
Kali pertama diperkenalkan kepada rakyat Malaysia di Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025), iCAUR V23 kini tampil dalam konfigurasi pacuan kanan (RHD) di perkarangan pusat beli-belah Starhill, Kuala Lumpur menjelang pelancaran rasmi tidak lama lagi.
Bersaiz kompak, tetapi berkuasa, iCAUR V23 hadir dengan dimensi panjang 4,220mm, lebar 1,915mm, dan tinggi 1,845mm tinggi, manakala jarak roda 2,735mm menawarkan kestabilan optimum untuk pemanduan bandar atau off-road.
iCAUR V23 ditawarkan dalam dua konfigurasi:
- 2WD: Motor tunggal pada gandar belakang berkuasa 136ps dan tork 180Nm, dengan bateri litium-besi-fosfat (LFP) 59.9kWh untuk jarak pemanduan 401km (CLTC), manakala pecutan 0-100km sepantas 11 saat
- iWD (AWD): Dual-motor AWD pintar berkuasa 211ps dan tork 292 Nm, dengan bateri nikel-mangan-kobalt (NMC) 81.8kWh untuk jarak pemanduan 501km (CLTC), manakala pecutan 0-100km sepantas 7.5 saat
Pengecasan, Teknologi Pintar
- Pengecasa pantas (DC): 85kW (2WD) | 104kW (iWD)
- Pengecasan standard (AC): 6.6kW untuk kedua-dua varian
- Dilengkapi fungsi kenderaan kepada beban (V2L): 3.3kW untuk kuasa luaran, sesuai untuk aktiviti luar
- Sistem suspensi menggunakan strut MacPherson (depan) dan multi-link (belakang), ysng menawarkan keselesaan dan kestabilan pemanduan optimum.
Rekabentuk, Ruang Dalaman
Rekabentuk luaran iCAUR V23 menggabungkan gaya minimalis moden dan elemen retro lasak. Gaya maskulin diserlahkan menerusi rim 19 inci (2WD) dan 21 inci (iWD).
Bahagian kabin mengetengahkan suasana moden dengan sentuhan klasik, seperti kamera casis 540° lut sinar definisi tinggi (HD), tombol kawalan rotari, dan bumbung tinggi untuk ruang kepala luas serta penglihatan maksimum.
Sistem Keselamatan, Teknologi ADAS
Keselamatan menjadi keutamaan dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2, seperti:
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Brek Kecemasan Automatik (AEB)
Harga, Tempahan dan Rangkaian Perkhidmatan
iCAUR V23 dijangka dilancarkan secara rasmi pada suku keempat 2025, pada harga anggaran:
- 2WD: RM145,000
- iWD: RM155,000
Tempahan awal kini dibuka bermula hari previu sebelum pelancaran rasmi kelak. Bagi memperkukuh perkhidmatan selepas jualan, iCAUR Malaysia merancang membuka 18 pusat jualan dan sembilan pusat servis penuh seluruh negara menjelang 2025, termasuk di Sabah dan Sarawak.










Leave a Reply