HYUNDAI Motor Company (Hyundai) dan Kia Motors (Kia) mengumumkan kejayaan penting dalam pembangunan teknologi tayar mampan.
Kedua-dua syarikat itu membangunkan dawai keluli (steel belt) untuk tayar daripada bahan kitar semula, yang bukan saja meningkatkan prestasi tayar, tetapi dapat mengurangkan emisi karbon dioksida ketika proses pengeluaran.
Komitmen ke Arah Neutral Karbon
Selaras perjanjian antarabangsa dan pelbagai peraturan alam sekitar, syarikat global kini giat berusaha mengurangkan emisi karbon sepanjang kitaran hayat produk, daripada pengeluaran bahan mentah hingga pelupusan.
Hyundai dan Kia juga tidak terkecuali mempercepatkan pembangunan pelbagai teknologi bagi mengurangkan emisi karbon di seluruh rantaian nilai dengan sasaran mencapai neutraliti karbon menjelang 2045.
Sebagai sebahagian usaha itu, satu sistem penyelidikan bersama dibentuk pada 2023 bersama Hyundai Steel, HS Hyosung Advanced Materials dan Hankook Tire. Kerjasama tersebut bertujuan membangunkan dawai keluli tayar yang dapat mengurangkan karbon peringkat global.
Teknologi Dawai Keluli Karbon Rendah
Dawai keluli ialah komponen penting dalam tayar yang dipasang dalam lapisan getah tayar, dan berfungsi menyokong beban dan mengurangkan perubahan bentuk (deformation), serta seterusnya meningkatkan keselamatan pemanduan dan ketahanan.
Justeru komponen itu perlu kekal berprestasi tinggi sepanjang jangka hayat tayar, dan memerlukan piawaian kualiti ketat dan kekuatan tinggi.
Melalui penyelidikan bersama, Hyundai dan Kia menghasilkan dawai keluli yang mengurangkan emisi karbon secara ketara. Berbeza kaedah konvensional menggunakan bijih besi dalam relau bagas, dawai keluli baharu itu menggunakan lebih 80 peratus bahan kitar semula, termasuk besi sekerap, yang dileburkan dalam relau elektrik.
Kaedah itu dapat mengurangkan emisi karbon dioksida sebanyak 22 peratus ketika proses pengeluaran. Pengurangan itu bersamaan lebih 3kg (kgCO2-eq) setiap kenderaan, iaitu jumlah serupa dengan karbon dioksida yang diserap satu pokok oak setiap tahun.
Prestasi Unggul, Aplikasi Masa Depan
Dawai keluli karbon rendah itu bukan saja mesra alam, tetapi menawarkan prestasi luar biasa. Ia menggunakan teknologi rawatan haba khas yang dioptimum untuk bahan kitar semula dengan menghasilkan prestasi ultra tegangan tinggi (ultra-tensile, UT).
Ini memastikan pemanduan dan pengendalian stabil walaupun dalam persekitaran mencabar. Tayar yang dilengkapi dawai keluli itu dirancang dipasang berperingkat pada kenderaan Hyundai Motor Group pada masa depan.
Selain itu, Hyundai dan Kia turut memperkenalkan pelbagai teknologi bahan rendah karbon dan kitar semula seperti plastik kitar semula dan bahanbio.
Misalnya, 'EV3 Study Car' yang diperkenalkan tahun lalu mempamerkan masa depan kenderaan mesra alam generasi akan datang menggunakan bahan lestari berkenaan.
Leave a Reply