NAMPAKNYA bateri pepejal (solid state battery) bukan saja untuk kereta, tetapi juga motosikal! Menariknya, bateri itu dipasang pada prototaip Ducati V21L.
Teknologi bateri pepejal canggih itu datang dari QuantumScape, dan jentera ujian tersebut adalah demonstrasi teknologi pertama seumpamanya dalam Volkswagen Group.
Ini menandakan pencapaian baharu dalam usaha peralihan dari makmal ke model pengeluaran massa, dan memberikan gambaran masa depan e-mobiliti dengan jarak lebih jauh serta masa pengecasan lebih singkat.
Bagaimanapun, langkah pembangunan lanjut masih diperlukan sebelum sel bateri itu dapat dihasilkan secara massa. Projek berkenaan adalah sebahagian penyelidikan berterusan Ducati terhadap teknologi alternatif selain enjin pembakaran dalaman (ICE).
Ia mengambil tempat selepas Kejuaraan Dunia FIM MotoE berehat akhir musim 2025 dan matlamat utama Ducati adalah membina kepakaran dalaman bagi menghasilkan motosikal jalanan elektrik yang sejajar nilai jenama itu.
Sepanjang tiga tahun MotoE, Ducati mengumpul banyak data daripada 18 pelumba yang membolehkan pengeluar itu mengurangkan berat pek bateri V21L sebanyak 8.2kg.
Walaupun penurunan ketara, tetapi masih belum mencukupi untuk menjadikan motosikal elektrik tersebut seringan jentera lumba ICE dengan jarak ideal.
Inovasi Teknologi Bateri Motosikal
- Penyelesaian Cabaran Berat: Ducati bekerjasama dengan syarikat Volkswagen Group, seperti Audi dan PowerCo, untuk mengkaji dan menguji teknologi bateri baharu. Kerjasama itu bertujuan mengatasi masalah berat pek bateri yang masih tidak mencukupi untuk menyaingi jentera lumba ICE.
- Bateri Pepejal QuantumScape: Prototaip Ducati V21L dilengkapi bateri pepejal QuantumScape, hasil kerjasama langsung antara PowerCo dan QuantumScape. Teknologi tersebut bukan evolusi daripada bateri litium-besi biasa, tetapi teknologi sel baharu sepenuhnya.
- Kelebihan Teknologi Baharu: Bateri pepejal menggunakan anod logam litium dan pemisah seramik dengan menawarkan kelebihan ketara dari segi ketumpatan tenaga lebih tinggi, keupayaan pengecasan pantas, keselamatan dan jangka hayat lebih baik.
- Rekabentuk Khas Prototaip: Ducati V21L diubah suai ketara dengan sistem bateri direka semula khas untuk menempatkan hingga 980 sel QSE-5 daripada QuantumScape.
Rancangan Masa Depan Ducati, Volkswagen Group
Rakan kerjasama projek akan terus menguji dan memajukan teknologi bateri pepejal dalam beberapa bulan akan datang. Objektif seterusnya adalah membangunkan jentera lumba untuk diuji di litar.
Pada masa sama, PowerCo dan QuantumScape sedang berusaha mengintegrasi teknologi pepejal dalam Unified Cell (konsep bateri baharu yang dibangunkan PowerCo) dan seterusnya ke dalam kereta.
Kedua-dua syarikat menyasarkan membangunkan penyelesaian komersial menjelang akhir dekad ini. Mereka juga bekerjasama selama beberapa tahun dengan menubuhkan pasukan perindustrian bersama di ibu pejabat QuantumScape di San Jose, California, Amerika Syarikat.
Leave a Reply