BMW tidak hanya menghasilkan kenderaan empat roda, tetapi juga mengeluarkan begitu banyak jentera dua roda, daripada basikal hingga motosikal. Kini, pengeluar automotif dari Jerman itu turut menghasilkan skuter berdiri elektrik sebagai salah satu pengangkutan urban masa kini.
BMW Motorrad X2City ialah kenderaan buat mereka yang mahu bergerak ke mana-mana lokasi dalam bandar tanpa perlu berdepan halangan trafik, masalah parkir dan jadual pengangkutan awam.
Dibina dan diedarkan dengan kolaborasi bersama pengeluar basikal, ZEG, X2City disertakan satu pek bateri litium-ion 408-Wh dan satu motor hab tanpa berus (brushless hub motor) yang mampu bergerak pada kelajuan 24kmj sejauh 28.9km untuk sekali cas. Masa cas pula ialah dua setengah jam menggunakan soket biasa di rumah (anggaran berasaskan kapasiti elektrik 220v untuk standard Eropah).
MUDAH DAN SELESA
X2City turut dilengkapi brek cakera (depan dan belakang) dan tayar pneumatik (boleh dipam) yang menjadikan skuter itu mudah dan selesa ditunggang. Malah, palam mengecas USB turut disedikan bagi memastikan anda sentiasa terhubung.
Kedudukan bateri boleh tanggal terlindung rapi daripada terkena sebarang kotoran jalanan. Ini termasuk penunggang yang turut dilindungi sepasang madgad di depan dan belakang. Jadi, tidak perlu risau pakaian anda dikotori sepanjang perjalanan, asalkan hari tidak hujan. 😛
Penunggang juga disyorkan memakai helmet atau topi keledar, di mana skuter itu diklasifikasikan di bawah peraturan European Pedelec25 yang mewajibkan sesiapa yang bergerak melebihi 22.5kmj supaya mendapatkan lesen khas ataupun memakai helmet untuk operasi.
Berat X2City ialah 19.9kg dan boleh dilipat menjadi saiz kompak supaya mudah diusung naik pengangkutan awam atau disimpan dalam but kereta. Kini dijual dan disenggara ZEG (bukan pengedar BMW), pada harga di bawah AS$2,855 (RM12,275).
Leave a Reply