SEPERTI mana pernah kita bincangkan tentang Apple CarPlay, anda tentu tidak asing juga mengenai Android Auto, iaitu perisian yang dibangunkan untuk mengintegrasikan fungsi telefon pintar dengan sistem infotainment dalam kereta.
Jika ciri Bluetooth yang ada pada kereta anda sekarang membolehkan anda menikmati muzik peribadi yang disimpan dalam peranti, termasuk membuat dan menjawab panggilan secara bebas tangan, Android Auto pula mampu menawarkan lebih banyak fungsi.
Android Auto ialah versi 'ringan' bagi telefon pintar, di mana beberapa aplikasi dalam peranti komunikasi itu dapat diakses menerusi skrin sentuh paparan infotainment kereta. Anda boleh menggunakan aplikasi navigasi Google Maps, strim Spotify dan Google Music, serta melakukan rutin menelefon seperti skrol buku telefon, membuat panggilan dan menghantar mesej teks menggunakan arahan suara sendiri.
Populariti Android Auto meningkat seiring dengan kehadiran Apple CarPlay. Kini, sudah ada banyak pengeluar automobil sudah siap memasang kedua-dua sistem itu pada produk mereka. Bezanya, jika anda pemilik telefon pintar Android, anda tidak dapat menggunakan perisian Apple CarPlay, dan begitulah sebaliknya.
Bagi pengeluar, usaha mengintegrasikan dua sistem tersebut sebenarnya banyak membantu menjimatkan kos dalam membangunkan dan menyelenggara peta dan perisian sendiri. Malah, kehadiran Android Auto dan Apple CarPlay banyak menguntungkan pengguna.
Namun, tidak semua pengeluar automobil bergembira dengan dominasi dua sistem operasi komunikasi paling berpengaruh itu. Sesetengah pengeluar memutuskan menawarkan satu perisian saja. BMW misalnya, hanya menawarkan ciri Apple CarPlay bagi model-model 5-Series baharu. Jadi, ini bermakna pemilik Android mungkin perlu memboikot BMW sebagai tanda protes, ataupun mula berkira-kira menjadi pemilik telefon pintar iPhone.
BAGAIMANA SAYA DIHUBUNGKAN?
Android Auto memerlukan telefon pintar Android 5.0 atau paling terkini, sebuah kereta yang ada aplikasi Android Auto dan kabel USB.
Bagaimanapun, Android Auto juga boleh berfungsi menggunakan unit utama (headunit) aftermarket, ataupun terus saja diaktifkan secara tunggal menerusi telefon pintar - dikenali sebagai mod kereta (car mode).
Mod kereta ialah tambahan terbaru bagi aplikasi Android Auto dan ini perlu diulas dalam artikel berasingan. Sekarang kita akan fokuskan tentang bagaimana Android Auto bekerja apabila dihubungkan kepada sistem yang serasi dengan aplikasi berkenaan.
Sekali lagi, Android Auto memerlukan kabel USB untuk dihubungkan dengan paparan infotainment, dan aplikasi Android Auto pula mesti siap sedia dipasang dalam telefon Android anda. Telefon itu pula bukanlah mesti buatan Google, tetapi cukup sekadar dioperasikan sistem Android 5.0 atau lebih terkini.
Namun, bukan sebarang palam USB yang dapat membaca aplikasi Android Auto. Tiada masalah jika anda pemilik Audi baharu kerana semua palam USB pada model jenama itu direka supaya serasi Android Auto. Jika anda pemilik Honda Civic baharu (Civic 'Ketam'), palam USB untuk Android Auto cuma dikhaskan di sebalik konsol tengah.
Sebaik saja kabel disambungkan, telefon akan memaparkan syarat Google untuk dipersetujui, termasuk persetujuan menghantar data menerusi rangkaian mobil. Sebaik saja dipersetujui, telefon anda akan berada dalam mod Android Auto, di mana skrin tidak lagi dapat digunakan dan perlu dioperasikan sepenuhnya menggunakan skrin sentuh dan arahan suara infotainment.
Tidak seperti Apple CarPlay yang perlu mengaktifkan aplikasi Siri, Google pula secara automatik akan menghidupkan perisian pengecaman suara apabila Android Auto diaktifkan.
MENGGUNAKAN ANDROID AUTO
Skrin utama Android Auto memaparkan paparan yang sama seperti aplikasi Google Now, tidak seperti susun atur aplikasi dalam Apple CarPlay. Jika anda pengguna aplikasi Google, anda pasti sudah biasa dengan paparan seperti tempoh masa dan jarak diperlukan ke tempat kerja/rumah, cadangan laluan trafik paling cepat, senarai lagu terakhir dan mesej dengan opsyen jawab balas pantas.
Apabila menggunakan Android Auto, beberapa perisian infotainment standard kereta anda tidak dapat berfungsi, seperti navigasi. Dalam mod Android Auto, sistem akan menggunakan Google Maps (atau aplikasi lain yang mesra navigasi Android). Secara automatik juga sistem akan menggunakan data mobil. Namun, beberapa fungsi infotainment masih beroperasi seperti biasa, seperti radio yang boleh terus didengar walaupun anda menggunakan Google Maps dengan bantuan panduan suara. Apapun, anda juga bebas memilih untuk tidak menggunakan Android Auto, sebaliknya menggunakan skrin infotainment pada bila-bila masa.
BACA >>> Android Auto Tawar Ciri 'Ok Google', Tidak Perlu Lagi Sentuh Skrin
Bergantung kepada tetapan infotainment kenderaan anda, Android Auto boleh dioperasikan sama ada menggunakan input skrin sentuh, dail rotari atau butang, ataupun arahan suara. Google pada masa sama turut membangunkan sistem yang berfungsi mengehadkan kekerapan anda menggunakan aplikasi seperti Pandora dan Spotify secara input skrin sentuh sebagai langkah keselamatan. Antaranya, selepas mengakses tiga halaman, fungsi aplikasi secara automatik tidak berfungsi dan anda mesti menggunakan arahan suara.
Jadi, mahu tidak mahu anda perlu bercakap seperti, “Google, play a song by Aiman Tino”, di mana sistem akan membuka aplikasi muzik anda dan memainkan lagu-lagu nyanyian Aiman Tino. Jika mahu menggunakan Google Maps, cakap saja, "Navigate to Kodiang", dan Google Maps secara automatik akan memaparkan laluan ke sana.
APA LAGI ANDROID AUTO BOLEH BUAT?
Disebabkan Android Auto menggunakan pengecaman suara Google Now, arahan digunakan ialah sama dan di bawah ini adalah beberapa arahan berguna buat anda ketika memandu:
- Call…
- Send message…
- Find the closest petrol station…
- What’s the weather like…
- Play song, artist or genre…
- Navigate to favourite restaurant…
- Is favourite restaurant open now?
Terdapat juga beberapa aplikasi yang boleh dibuka terus secara arahan suara seperti panggilan video Skype, dan aplikasi lain seperti:
- Pandora
- Spotify
- Audible
- Google Hangouts
- Skype
- BBC Media Player
PERLUKAH ADA SAMBUNGAN RANGKAIAN MOBIL?
Anda tidak memerlukan sambungan rangkaian mobil pun untuk menggunakan Android Auto, tetapi ada banyak jaga aplikasi yang tidak dapat beroperasi dengan baik jika tiada sambungan tersebut. Lainlah jika anda setakat mahu mendengar muzik yang disimpan dalam telefon pintar.
SAYA MASIH BOLEH GUNA TELEFON?
Tidak, ini kerana skrin telefon pintar anda akan dinyahaktif sebaik saja menggunakan Android Auto. Anda tidak boleh menggunakan kedua-dua sistem itu serentak.
APAKAH TELEFON DICAS JIKA ANDROID AUTO AKTIF?
Ya, telefon pintar anda akan dicas sebaik saja disambungkan kepada Android Auto, tetapi mungkin pada kadar cas yang perlahan.
KALAU SAYA PEMILIK IPHONE?
Anda tidak boleh menggunakan Android Auto, tetapi boleh menggunakan Apple CarPlay jika kereta anda menawarkan sistem tersebut.
BACA >>>
Apple CarPlay [SIRI 1/2]: Ketahui Sejarah Aplikasi Bebas Tangan
Apple CarPlay [SIRI 2/2]: Ketahui Fungsi, Kelebihan dan Cara Menggunakannya
BOLEHKAH GUNA ANDROID AUTO PADA SET STEREO AFTERMARKET ATAU PASANG PERISIAN SENDIRI?
Sesetengah set stereo aftermarket memang siap dibekalkan sistem Android Auto. Tetapi, sambungan USB perlu berhubung terus kepada set stereo itu. Android Auto juga tidak diintegrasi dengan butang-butang audio biasa.
BOLEHKAH GUNA TELEFON ATAU TABLET SEBAGAI ANTARAMUKA ANDROID AUTO?
Ya, boleh. Android Auto boleh beroperasi secara antaramuka tunggal. Apabila diaktifkan dalam aplikasi Android Auto, skrin telefon akan beroperasi sama seperti paparan Android Auto pada kereta baharu. Ingat, sila pastikan telefon anda dipasangkan pada kedudukan yang betul dalam kereta. Jangan pula menggunakan telefon ketika memandu.
APA LAGI YANG MENARIK TENTANG ANDROID AUTO?
Kelebihan utama Android Auto ialah integrasi panggilan, mesej, navigasi dan muzik. Sebenarnya, tidak banyak yang boleh dilakukan selain aplikasi itu. Anda juga tidak boleh menonton video atau melayari Internet.
APAKAH KERETA DAN PERANTI YANG MENYOKONG ANDROID AUTO
Telefon pintar Android dengan sistem operasi 5.0 atau lebih tinggi dan aplikasi Android Auto siap dipasang. Senarai jenis kereta pula boleh rujuk di SINI.
SUMBER: Practical Motoring
Leave a Reply