TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) telah membuka banyak kemungkinan dalam kehidupan manusia termasuk golongan kelainan upaya (OKU).
Sebagai contoh, Honda telah membangunkan aplikasi inovatif yang menggunakan teknologi AI bagi membantu OKU penglihatan menikmati perjalanan mereka.
Aplikasi itu menghasilkan dan menceritakan gambaran pemandangan persekitaran dalam bentuk audio sambil kereta dipandu dan dibangunkan dengan kerjasama Pusat Inovasi Howe, Perkins School for the Blind's.
Honda Scenic Audio App merupakan aplikasi kebolehcapaian (accessibility) berkuasa AI pertama yang dibangunkan bagi meningkatkan pengalaman perjalanan di dalam kereta dan pengangkutan lain untuk OKU penglihatan.
Aplikasi itu berfungsi melalui gabungan visi komputer, janaan AI, pengimejan satelit dan pelbagai lagi teknologi dan sumber seperti penyasaran geo dan laporan cuaca bagi menghasilkan penceritaan suasana di luar secara terperinci.
Kaedah penceritaan audio banyak membantu kehidupan OKU penglihatan.
Aplikasi Honda Scenic Audio dibangunkan untuk berfungsi secara dinamik dalam menceritakan persekitaran di luar menggunakan tona suara, bunyi, perbandingan bentuk muka bumi dan suhu di luar.
Honda bukan baharu dan telah lama menyokong pertubuhan OKU penglihatan melalui khidmat kemasyarakatan korporat dan setempat termasuk kerjasama dengan Institut untuk Pekak dan Buta Alabama (AIDB) yang terjalin hampir 30 tahun.
AIDB sedang melakukan ujian beta untuk aplikasi Scenic Audio yang melibatkan komuniti OKU penglihatan dan akan menyediakan maklum balas.
Pusat Inovasi Howe yang merupakan ahli komuniti global DisabilityTech turut terlibat dalam program ujian beta selain sama-sama membangunkan aplikasi Honda Scenic Audio.
Pembangunan aplikasi begini menunjukkan keprihatinan Honda dan harus dipuji. Golongan OKU penglihatan tidak diabaikan dan perlu diberi peluang untuk menikmati perjalanan mereka.
Bayangkan satu hari nanti perjalanan ke Kedah dengan sawah padi di kanan dan kiri dapat diceritakan kepada OKU penglihatan atau bagaimana keindahan matahari terbenam di kaki langit.
Satu nikmat buat insan normal yang patut disyukuri. Alhamdulillah.
Leave a Reply