UMUM mengetahui GR86 dan BRZ adalah hasil kerjasama Toyota dan Subaru yang berlangsung selama dua generasi.
Toyota sememangnya giat memperhebatkan jenama melalui sukan permotoran seperti penyertaan di dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) dan penganjuran perlumbaan GAZOO Racing.
Penyertaan semula di dalam WRC pada 2017 ternyata membuahkan hasil setelah empat kali berjaya merangkul kejuaraan kategori pengeluar.
Tempias permotoran turut mengenai Subaru yang sama-sama bersaing di dalam perlumbaan satu model (one-make race/OMR) TOYOTA GAZOO Racing GR86/BRZ Cup di Jepun yang bermula pada 2022.
Perlumbaan ini asalnya TOYOTA GAZOO Racing 86/BRZ Race yang pertama kali dianjurkan pada 2013.
Perlumbaan OMR menyaksikan kereta BRZ (ZD8) dan GR86 (ZN8) 'Cup Car Basic' berentap di serata Jepun dan menjadi pentas untuk menikmati pemanduan, menguji kemahiran dan bersaing sesama rakan atau lawan.
Selepas diperkenal pada 2022, Subaru kembali dengan kereta lumba BRZ Cup Car Basic terbaru (2024) yang dibangunkan untuk bersaing di dalam perlumbaan TOYOTA GAZOO Racing GR86/BRZ Cup.
Di peringkat tempatan model ini ibarat Vios GR yang dijual Toyota untuk bersaing di dalam perlumbaan GR Vios Challenge. BRZ Cup Car Basic dilengkapi perkakasan istimewa Subaru Tecnica International Co., Ltd (STI).
Sebagai model 2024, bentuk rangka keselamatan (roll cage) diubah mengikut perkakasan EyeSight yang menjadi ciri standard BR-Z terbaru.
BRZ Cup Car Basic bukan setakat kereta dari kilang yang 'ditogelkan', Subaru membuat beberapa penyesuaian untuk menjadi kereta asas bagi perlumbaan seperti penambahan penyejuk minyak enjin dan pengedap (seal) enjin.
Pelbagai perkakasan juga dioptimum sesuai dengan tujuannya sebagai kereta asas untuk berlumba. Penampilan luar model 2024 nampak sama seperti model 2022 termasuk rim besi.
Perkakasan keselamatan seperti beg udara tirai dan sisi ditanggal dan nyahaktif. BRZ Cup Car Basic 2024 kekal dengan enjin FA24 2.4 liter dan dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan dan dipacu roda belakang.
Kuasa enjin sama seperti model jalanan iaitu 235 ps pada 7,000 rpm dan tork 250Nm pada 3,700 rpm.
Perkakasan khas BRZ Cup Car Basic 2024:
- Rangka keselamatan enam sudut dan palang sisi.
- Cangkuk (eye bolt) untuk tali pinggang enam sudut (kerusi pemandu).
- Tambahan penyejuk minyak enjin (sejukan udara).
- Pengedap enjin.
- Sirip penyejukan diferensial belakang.
- Karpet kaki khas yang sepadan dengan rangka keselamatan.
- Rim besi dan tayar 205/55R16.
- Berat 1,510 kg.
Selain putih yang ibarat baju seragam rasmi untuk berlumba, terdapat enam lagi pilihan warna seperti WR Blue Pearl, Ignition Red, Sapphire Blue Pearl, Ice Silver Metallic, Magnetite Gray Metallic dan Crystal Black Silica.
BRZ Cup Car Basic 2024 ditawarkan pada harga JPY¥3,700,400 (RM115,792).
Subaru BRZ Cup Car Basic 2024:
Subaru BRZ Cup Car Basic 2022:
Leave a Reply