INDONESIA dijangka menggunakan hidrogen sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui untuk kenderaan masa depan, iaitu satu lagi bahan bakar alternatif selain elektrik, petrol, diesel dan gas.
Perkara itu bakal direalisasikan selepas anak syarikat Pertamina, Pertamina New & Renewable Energy (Pertamina NRE) dan Toyota menjalin kerjasama membangunkan ekosistem hidrogen sebagai bahan api kenderaan di Indonesia.
Presiden Direktor Pertamina (Persero), Nicke Widyawati berkata, kolaborasi itu satu usaha membantu republik itu mencapai misi emisi sifar. Pada majlis pecah tahan Stesen Isian Semula Hidrogen (HRS) di Daan Mogot, beliau berkata;
Untuk capai ini, kami mendorong pelbagai pilihan. Jadi, kita sudah ada kenderaan elektrik (EV), biotenaga dan kini hidrogen sebagai pelopor."
Memorandum perjanjian pembangunan bersama antara Pertamina dan Toyota itu dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertamina NRE, Dannif Danusaputro dan Presiden Direktor Toyota Motor Manufacturing Indonesia, Nandi Julyanto.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Presiden Komisioner Pertamina (Persero), Basuki Tjahaja Purnama dan Pengarah Logistik dan Infrastruktur Pertamina (Persero), Alfian Nasution.
Basuki dalam ucapannya menyatakan Pertamina perlu ke depan mencipta inovasi dan bukan jadi pengikut jika mahu meneroka perniagaan tenaga bersih.
KENAPA TOYOTA?
Dannif berkata;
Kami bekerjasama dengan Toyota yang sudah menghasilkan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV), Toyota Mirai yang akan menggunakan isian semula hidrogen di stesen HRS kami."
Stesen Daan Mogot akan menjadi stesen integrasi pertama yang menawarkan tiga jenis bahan api, iaitu fosil (petrol dan diesel), gas dan hidrogen. Stesen HRS membolehkan isian hidrogen dalam kenderaan komersial dengan masa isian kurang lima minit.
SUMBER: CNBC Indonesia | Pertamina
Leave a Reply