KELIBAT Kia Rio (2018) di Pameran Auto New York (NYAS) 2017 bukan saja menjadi tumpuan peminat automotif Amerika Syarikat (AS), tetapi Malaysia juga tidak terkecuali memandangkan hatchback dan sedan segmen-B jenama Korea itu memang sudah sedia ada dalam pasaran tempatan.
Generasi ke-4 Rio ini mendapat sentuhan rekaan semula yang lebih segar. Tempias Optima dilihat melekat kuat pada rekaan terbaru kali ini yang membuatkan penampilan kali ini lebih minimalis, tetapi elegan. Walaupun masih mengekal ciri kompak, tetapi saiz varian sedan kali ini lebih panjang berbanding model terdahulu. Ini bermakna ada lebih ruang kaki dan but.
LEBIH PANJANG, RENDAH DAN LEBAR
Model sedan dipanjangkan daripada 172 inci kepada 172.6 inci, manakala versi hatchback daripada 159.4 inci kepada 160 inci. Kedua-dua model juga datang dengan penambahan jarak roda (wheelbase) sebanyak 101.6 inci daripada 101.2 inci, dan juga lebih rendah dan lebar. Di pasaran AS, Kia Rio (2018) ditawarkan dalam 3 varian - LX, S dan EX dengan kapasiti enjin sama - 1.6L.
Sama seperti Optima, ruang dalaman Rio mengalami penambahbaikan dari segi tata letak, kemasan dan material. Rio (2018) menampilkan sistem infotainment skrin sentuh dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.
BACA >>> #PanduUji: 6 Sebab Kenapa Kia Rio Sedan Perlu Lebih Perhatian
Prestasi Rio (2018) dijana enjin 1.6L berkuasa 130hp dan tork 161Nm dengan pemanduan lebih responsif, kelajuan rendah dinamik dan penggunaan bahan api cekap, di mana pemandu diberikan opsyen transmisi manual atau automatik 6-kelajuan.
Antara ciri keselamatan dibekalkan ialah 6 beg udara, rasuk pintu impak-sisi, Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Bantuan Mula-Daki (HAC) dan Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM).
Kia Rio (2018) dijadualkan berada di pasaran massa tahun ini, dan Malaysia dijangka bakal membawa masuk model ini sama ada pada penghujung tahun nanti atau awal tahun depan.
Leave a Reply