DI SEBALIK pelancaran Land Cruiser 250 Series yang membawa gaya klasik, Toyota juga memperbaharui model yang turut membentuk definisi 'OG' iaitu Land Cruiser 70 Series.
Toyota terlebih dahulu memperkenalkan trak pikap Land Cruiser 70 Series versi dipertingkat di Australia dan kini giliran pelanggan Jepun pula ditawarkan Land Cruiser 70 versi badan penuh.
Latar Belakang Land Cruiser
OG sebenar ialah Toyota BJ yang dilancarkan pada 1 Ogos 1951 dan siri Land Cruiser kini berusia lebih 70 tahun. BJ mencatat sejarah dengan menjadi kenderaan pertama berjaya mendaki semua enam stesen Gunung Fuji.
Land Cruiser 70 Series dilancar pada 1984 dan mencipta nama sebagai kenderaan paling reliabel dan tahan lasak. Reputasi juga boleh dilihat pada harga unit terpakai selain turut dibaik pulih banyak peminat kenderaan pacuan empat roda (4X4).
Setakat September 2023, lebih 11.3 juta unit Land Cruiser (termasuk Lexus LX dan GX) terjual di 170 negara dan rantau dunia.
Ciri Utama Land Cruiser 70 Series 2023/24
Model dipertingkat itu kekal dengan rekabentuk asas dan diberikan beberapa pembaharuan bahagian depan dan belakang seperti:
- Lampu dan bampar baharu.
- Bahagian kabin juga diperbaharui, kecuali kluster instrumen, unit infotainmen, stereng, tombol dan konsol gear.
- Enjin menggunakan kod sama seperti Hilux, iaitu 1GD-FTV 2.8L diesel turbo dengan suntikan terus yang menghasilkan output kuasa 202hp dan tork 500Nm.
- Enjin itu dipadan kotak gear automatik 6-kelajuan (6 Super ECT) dengan ciri pacuan empat roda (4WD) separuh masa.
- Selain casis bentuk tangga (ladder frame) yang lasak dan kunci diferensial elektronik (EDL), model ini juga dilengkapi pelbagai fungsi kawalan dan pembrekan, seperti Kawalan Stabiliti Kenderan (VSC), Kawalan Traksi Aktif (A-TRC), Kawalan Bantuan Mula Daki (HAC), dan Bantuan Kawalan Turun Cerun (DAC).
Satu lagi teknologi penting ialah sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS) dengan ciri Keselamatan Pra-Pelanggaran (PCS), Amaran Tukar Lorong (LDW), Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB) dan lain-lain.
Mengenai harga, Land Cruiser 70 AX dijual pada 4.8 juta yen (RM151,580) dan Toyota mensasarkan jualan 400 unit sebulan. Model itu dipasang di Kilang Yoshiwara Plant, Toyota Auto Body Co Ltd.
Sebagai model popular dalam kalangan pengguna tempatan, adakah Land Cruiser akan dibawa masuk? Masih awal dan penulis yakin pengimport bebas boleh memberi jawapan kukuh.
Ciri Land Cruiser 70 Jepun
- Dimensi: Panjang 4,890mm x Lebar 1,870mm x Tinggi 1,920mm, dan jarak roda: 2,730mm
- Berat: 2,300kg
- Enjin: 1GD-FT 2.8L diesel turbo suntikan terus
- Kuasa: 202hp, 500Nm
- Transmisi: Automatik 6-kelajuan (Flex Lockup Super Intelligent, 6 Super ECT)
- Pacuan: 4WD separuh masa
- Muatan: 5 penumpang
- Kapasiti Tangki Minyak: 130 liter
Leave a Reply