PROSES mengambil tanah bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665km kini sudah siap 93 peratus, kata Pengurus Besar Unit Perniagaan Kereta Api China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC), Zhang Wenfeng.
Beliau berkata, syarikat itu masih menunggu proses pengambilan tanah di Seksyen C projek berkenaan yang melibatkan kawasan Selangor dan mewakili 7 peratus jajaran rel.
7 peratus (belum siap) bukan jumlah yang besar, tetapi jika berlaku kelewatan (pengambilan tanah), ia mungkin boleh menjejaskan tempoh penyiapan, tetapi jika tiada masalah, kami amat yakin pembinaan dapat berjalan lancar, dan projek boleh disiapkan tepat pada waktu yang disasarkan.
"Sekarang ini kita dapati pengambilan tanah di Selangor sedikit tertangguh. Jadi saya harap kerajaan (Malaysia) mendapat sokongan ramai untuk menyiapkan projek ini, dan dapat menyelesaikan isu pengambilan tanah lebih awal, kerana ia boleh menjejaskan penyiapan keseluruhan projek," katanya kepada wartawan Malaysian dalam temu bual khas baru-baru ini.
CHEC, yang juga subsidiari China Communications Construction Company Ltd (CCCC), ialah syarikat kontraktor pembinaan yang mengetuai projek ECRL.
Zhang berkata, pembinaan keseluruhan projek itu sudah mencapai kemajuan 50.29 peratus sehingga pertengahan Ogos lalu dan dilihat berada di landasan betul untuk disiapkan menjelang akhir 2027.
Projek dibahagikan kepada tiga bahagian yang terdiri daripada bahagian A, B dan C. Kami sudah menyiapkan kebanyakan kerja awam di bahagian A dan B, secara kasar projek ini sudah separuh siap," katanya.
Beliau berkata projek itu dijangka menyediakan hingga 18,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sepanjang tempoh pembinaan.
Menurutnya, selain itu pelaksanaan projek berkenaan juga akan menyaksikan lebih 5,000 juruteknik dilatih dalam aspek pembinaan dan operasi kereta api.
Zhang berkata, mereka juga sudah melaksanakan perlindungan alam sekitar seperti mengubah rekabentuk penjajaran, selain menggunakan peralatan TBM (Mesin Pengorek Terowong) tercanggih untuk menggantikan kaedah pengorekan tradisional seperti letupan dan penggalian untuk pembinaan terowong, bagi meminimumkan kesan projek terhadap alam sekitar.
Beliau berkata, projek itu boleh merangsang pembangunan ekonomi, dan sangat penting bagi meningkatkan jalinan ketersambungan antara negeri di Pantai Timur dan negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Menurutnya lagi, projek itu adalah bahagian penting Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI) di Malaysia yang dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.
ECRL ialah projek infrastruktur kereta api yang dibangunkan untuk meningkatkan ketersambungan antara negeri di Pantai Timur (Kelantan, Terengganu, dan Pahang) dan negeri Pantai Barat (Negeri Sembilan, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).
SUMBER: Bernama
Leave a Reply