HIMPUNAN RXZ Member 5.0 (2023) yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di Terengganu menarik lebih 60,000 peserta, termasuk pemilik dari empat negara jiran iaitu Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.
Bagaimanapun, acara dua hari itu mengundang masalah apabila sebilangan peserta ditahan pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.
Menurut penganjur dipetik Harian Metro berkata, pihaknya belum memutuskan sama ada penganjuran program itu akan diteruskan tahun depan atau sebaliknya.
Akhbar itu menyatakan pihak penganjur memberi bayangan penganjuran acara yang bermula sejak 2017 itu mungkin terakhir diadakan tahun ini. Pengarah program, Mohamad Faizal Mat Ali berkata;
Sambutan Himpunan RXZ Member 5.0 kali ini begitu meriah dan luar biasa berbanding RXZ Member 1.0 hingga 4.0, lebih 60,000 peserta seluruh negara hadir termasuk dari Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura.
"Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyertai dan memeriahkan lagi program tahunan kali kelima itu yang menawarkan hadiah cabutan bertuah lumayan termasuk motosikal Ducati.
"Namun bagi saya ia begitu mengecewakan dengan apa yang berlaku sepanjang dua hari penganjuran itu kerana ada peserta ditahan dan motosikalnya disita pihak berkuasa atas pelbagai kesalahan.
"Saya sendiri pun perlu berjumpa beberapa kali dengan pihak polis untuk menyelesaikan masalah itu kerana ramai meminta tolong kerana sambutan diterima daripada peserta luar biasa kali ini.
"Saya menangis kecewa dan buntu, namun saya tidak nafikan yang ditahan itu melakukan pelbagai kesalahan walaupun garis panduan dan peraturan sudah dimaklumkan.
"Jadi untuk Himpunan RXZ Member 6.0 tahun depan saya belum pasti sama ada program tahun ini yang terakhir atau sebaliknya."
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaporkan mengenakan tindakan sitaan terhadap 126 motosikal atas pelbagai kesalahan sepanjang sembilan hari Operasi Khas Motosikal (OKM) peringkat Terengganu, termasuk peserta Himpunan RXZ Member 5.0.
SUMBER: HMetro
Leave a Reply