BUKAN saja Jepun, Korea Selatan juga ada kei-car (kereta mini) sendiri, iaitu Kia Ray yang dijual sejak 2011. Lama di pasaran, Kia memperkenalkan model versi dipertingkat (facelift) pada 2017 dan terbaharu pada Ogos 2022.
Kia Ray (2023) ini digerakkan enjin 1.0L Kappa dengan transmisi automatik CVT 4-kelajuan.
Selain enjin pembakaran dalaman (ICE), Kia juga pernah memperkenalkan versi elektrik Ray EV pada 2011 dengan trenkuasa elektrik terdiri daripada motor berkuasa 50kW (67hp), dan bateri litium-ion 16.4kWj yang boleh dipandu hingga 138km.
Kia kini menawarkan Ray EV terbaharu dengan prestasi lebih baik, iaitu Kia Ray EV (2023) dilengkapi bateri litium-ion fosfat (LFP) 35.2kWj.
Bersama penutup bawah bahagian depan yang meningkatkan prestasi aerodinamik, Kia Ray EV (2023) boleh dipandu sejauh 205km/233km (pemanduan bandar) dengan kadar penggunaan tenaga 5.1km/kWj (tayar 14 inci).
Pengecasan pantas 150kW boleh menambah tenaga bateri 10-80 peratus dalam masa 40 minit, manakala pengecas 7kW pula memerlukan enam jam untuk tambahan kuasa 10-100 peratus. Motor elektrik menghasilkan kuasa maksimum 64.3kW (sekitar 85hp) dan tork 147Nm.
Jika dibuat perbandingan, kuasa dan tork Kia Ray EV (2023) masing-masing 15 peratus dan 55 peratus lebih tinggi daripada Kia Ray versi ICE (foto atas) dengan kuasa 74hp (sekitar 55.9kW) dan tork 95.1Nm. Secara ringkas, Kia Ray EV (2023) lebih tangkas berbanding Ray ICE.
Selain itu, Kia Ray ialah model pertama dalam segmen kompak di Korea yang dilengkapi brek elektronik dan brek parkir elektronik (EPB). Turut dilengkapi fungsi henti pegun (auto hold).
Dari segi praktikaliti, kerusi Kia Ray EV (2023) boleh dilipat rata dan ada mod utiliti khusus EV yang membolehkan perkakasan elektrik diguna dalam masa lama ketika tidak memandu.
Bagi keselamatan, model EV ini dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dengan ciri seperti Bantuan Kekal lorong (LKA) dan Bantuan Elak Pelanggaran Titik Buta (BSCAA).
Ruang kabin dilengkapi unit infotainmen 10.25 inci dengan papan pemuka sporty. Ada enam warna pilihan seperti Smoke Blue dan dua warna dalaman baharu, iaitu kelabu lembut dan hitam.
Harga Kia Ray EV (2023) Ikut Varian
Empat kerusi
- Light: 27.75 juta won (RM97,350)
- Air: 29.95 juta won (RM105,080)
Dua kerusi (van)
- Light: 27.45 juta won (RM96,295)
- Air: 27.95 juta won (RM98,050)
Satu kerusi (van)
- Light: 27.35 juta won (RM95,940)
- Air: 27.8 juta won (RM97,530)
BACA >>> #TahukahAnda: Kenali Kia Sportage yang Lebih 7 Juta Unit Terjual, Kini Sudah 30 Tahun!
BACA >>> Kia Concept EV5 (2023), SUV Elektrik Selepas EV9 yang Kekal dengan Gaya Kotak!
BACA >>> Kia Carens Baharu Raih Anugerah Kereta Terbaik India (ICOTY) 2023!
Leave a Reply