ANTARA faedah mempunyai bos yang meminati kereta dan dunia perlumbaan adalah lahirnya siri Toyota GR. Bukan satu, tetapi empat model, iaitu GR Supra, GR Yaris, GR86 dan GR Corolla.
Senarai itu, tidak termasuk siri GR Sport hingga trak pikap Toyota Hilux pun tidak terkecuali. Terima kasih kepada mantan presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda.
Penawaran GR Corolla dimanfaatkan Toyota Amerika Syarikat (AS) sebagai kereta teraju (pace car) rasmi Kejuaraan Kebangsaan NASA (National Auto Sport Association) 2022 dan tampil di litar Laguna Seca, tahun lalu.
Tanggung jawab hatchback itu disambung tahun ini dan dalam versi MORIZO Edition dengan grafik merah, putih dan hitam ala kereta lumba Toyota.
Toyota GR Corolla MORIZO Edition memulakan tugas di Kejuaraan NASA di Kompleks Perlumbaan Antarabangsa Pittsburgh (Pitt Race) di Pennsylvania pada 7 September nanti.
Toyota GR Corolla mengetuai lebih 350 peserta yang bersaing dalam 25 kelas perlumbaan di litar dengan jarak 4.47km dan 19 selekoh. Tugas sebagai pace car hanya satu daripada cara Toyota GAZOO Racing (TGR) menjalin hubungan dengan peminat.
Pembeli Toyota GR Corolla akan menerima keahlian NASA selama setahun, termasuk satu sesi hari litar pada Acara Pemanduan Prestasi Tinggi NASA.
Program itu bermula sejak 2019 lagi yang memberi pemilik Toyota GR Supra merasai pengalaman pemanduan berprestasi di bawah tunjuk ajar pengajar pakar dan kini diperluas kepada pemilik model GR lain.
Toyota GR Corolla (2023) dijana enjin 1.6L turbo yang menghasilkan output kuasa 300hp dan tork 370Nm serta ditambah 30Nm untuk model MORIZO Edition.
Enjin 3-silinder dipadankan transmisi intelligent Manual Transmission (iMT) dengan sistem pacuan semua roda (AWD) GR-Four AWD dan pilihan nisbah kuasa depan kepada belakang 60:40, 50:50 atau 30:70.
Sebagai kereta moden dan berprestasi, Toyota GR Corolla menawarkan empat mod pemanduan: ECO, Normal, Sport atau Custom.
Pengguna di AS ditawarkan tiga varian, GR Corolla Core, Circuit Edition dan GR Corolla MORIZO Edition. Tanpa kerusi belakang dan beberapa komponen lain, MORIZO Edition lebih ringan hampir 45kg daripada Circuit Edition (foto atas).
Dikeluarkan dalam unit terhad, MORIZO Edition dijual pada harga paling tinggi, iaitu AS$49,900 (RM228,130)
BACA >>> Toyota GR86 TRUENO Edition (2024), Cuma 860 Unit Sempena Tribut Model Ikonik Trueno
BACA >>> Toyota C-HR (2024) Diperkenal dengan Rekabentuk Dramatik, Enjin Hibrid Sahaja
Leave a Reply