HONDA Malaysia sebentar tadi memperkenal model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B kecil, Honda WR-V (2023) ke pasaran tempatan pada harga bermula RM89,900.
SUV yang dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) itu ditawarkan dalam empat varian, yang juga menjadikan Malaysia sebagai negara Asean paling banyak pilihan berbanding Indonesia dan Thailand. Berikut perincian Honda WR-V (2023):
HARGA HONDA WR-V (2023)
- S (varian asas) - RM89,900
- E (varian pertengahan) - RM95,900
- V (varian tinggi) - RM99,900
- RS (varian perdana) - RM107,900
* Harga atas jalan tanpa insurans
WARNA
Ada lima pilihan warna disediakan, iaitu: Platinum White Pearl (putih mutiara), Meteoroid Gray Metallic (kelabu), Crystal Black Pearl (hitam), Ignite Red Metallic (merah) dan warna baharu, Stellar Diamond (putih).
Sedikit menghampakan Honda WR-V (2023) tidak didatangkan dalam warna badan dwi-tona, termasuk varian RS seperti versi Thailand dan Indonesia.
TRENKUASA
Honda WR-V (2023) dijana trenkuasa sama seperti sedan Honda City, iaitu aspirasi natural 4-silinder 1.5L i-VTEC berkuasa 119hp dan tork 145Nm dengan sistem transmisi automatik CVT 7-kelajuan.
Apa berbeza daripada City ialah Honda Malaysia membuat talaan semula kotak gear CVT bagi mendapatkan karakter sebuah SUV subkompak kecil.
Setakat ini, Honda belum memperkenalkan Honda WR-V versi hibrid (e:HEV) di Indonesia dan Thailand, begitu juga Malaysia.
PERINCIAN
Kadar penggunanaan bahan api Honda WR-V (2023) ialah 6 liter per 100km. SUV ini juga masih menggunakan ciri brek tangan dan tiada brek parkir elektrik (EPB).
Sistem brek jenis brek cakera di depan, dan brek dram di belakang. Semua varian mendapat rim aloi 16 inci, kecuali RS dipasangkan rim 17 inci dwi-tona.
Dimensi
Varian S memiliki dimensi panjang 4,060mm, lebar 1,780mm dan tinggi 1,576mm. Varian E, V dan RS memiliki dimensi panjang (4,060mm) dan lebar (1,780mm) yang sama, tetapi sedikit tinggi, iaitu lebih 32mm (1,608mm).
Jarak roda semua varian sama, 2,485mm dengan jarak tinggi bumi 207mm, manakala radius pusingan 5.2 meter. Bagaimanapun, berat setiap varian berbeza seperti berikut:
- S - 1,108kg
- E - 1,111kg
- S - 1,125kg
- RS - 1,145kg
Kapasiti but cuma 380 liter dengan baris tempat duduk belakang boleh rebah.
CIRI
Semua varian Honda WR-V (2023) mendapat ciri standard seperti: cermin sisi dengan lampu signal belok, lampu belakang LED, hendal pintu warna badan, penghidup tanpa kunci (keyless) dan butang tekan mula (push-start), kawalan penyaman udara jenis punat suis, wiper belakang, stereng dengan punat kawalan audio, cermin sisi boleh laras dan boleh lipat elektrik, unit infotainmen 7 inci dengan sambungan Bluetooth, termasuk konektviti Apple CarPlay dan Android Auto, dua port USB (depan), dan satu soket 12V di belakang.
Selain di atas, ciri juga berbeza mengikut pilihan varian, seperti jenis lampu utama (halogen atau LED), kemasan upholsteri (fabrik, uretana atau kulit), antena (rod biasa atau sirip yu), pedal (normal ataun sport), kluster instrumen (analog atau digital), penyaman udara (manual atau tunggal auto) dan jumlah pembesar suara.
Bagi varian premium RS mendapat ciri khas yang tiada pada varian lain, seperti:
- Lampu utama LED sekuensial
- Pedal syif
- 6 pembesar suara (varian lain 4 pembesar suara)
Ciri Keselamatan
Semua varian Honda WR-V (2023) mendapat ciri keselamatan standard seperti berikut:
- 4 beg udara SRS
- Pengingat tali keledar pemandu dan penumpang sebelah.
- pautan kerusi kanak-kanak ISOFIX I-Size
- Kunci pintu automatik
- Bantuan Stabiliti Kenderaan (VSA)
- Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Agihan Brek Elektronik (EBD)
- Bantuan Mula Daki (HSA)
- Signal Henti Kecemasan (ESS)
- 2 sensor undur
- Kamera Honda LaneWatch (LWC)
- Penggera keselamatan dan imobiliser
Bagi varian E dan ke atas (V dan RS), mendapat tambahan ciri seperti kamera undur multisudut, dan teknologi bantuan pemandu Honda SENSING seperti:
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW)
- Sistem Brek Mitigasi Rempuhan (CMBS)
- Amaran Tukar Lorong (LDW)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (LKAS)
- Mitigasi Tukar Lorong (RDM)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
- Lampu Suluh Tinggi Automatik (AHB)
- Notifikasi Kereta Depan Gerak (LCDN)
Varian paling premium RS pula mendapat tambahan ciri 6 beg udara SRS (beg udara tirai), dan Honda CONNECT untuk ekstra sekuriti, keselamatan dan keselesaan.
BACA >>> Honda WR-V (2023) Dapat 2,500 Tempahan, Varian RS Paling Laku!
Leave a Reply