PHS Automotive Malaysia (PHSAM) melancarkan tujuh model kereta elektrik (EV) Audi e-tron secara rasmi ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada kenderaan utiliti sukan (SUV), sportback dan coupé 4-pintu.
Harga jualan dicadangkan untuk barisan model EV penuh Audi itu seperti berikut:
- Q8 e-tron advanced 50 quattro - RM383,990-RM396,990
- Q8 Sportback e-tron advanced 50 quattro - RM389,990-RM402,990
- Q8 e-tron S line 55 quattro - RM474,990-RM487,990
- Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro - RM484,990-RM497,990
- e-tron GT quattro - RM587,990-RM599,990
- e-tron GT quattro dengan Dynamic Package - RM 666,990-RM 678,990
- RS e-tron GT - RM792,990-RM807,990
SUV Audi Q8 e-tron menampilkan rekabentuk aerodinamik efisien, trenkuasa yang dioptimum dengan prestasi pengecasan lebih padu dan kapasiti bateri lebih tinggi dengan jarak pemanduan hingga 582km.
Ruang kabin SUV Audi Q8 e-tron advanced 50 quattro dan Audi Q8 e-tron S line 55 quattro menawarkan pengalaman tempat duduk kelas pertama dengan kerusi belakang boleh lipat dengan tambahan ruang kargo 1,725 liter.
Walaupun memiliki ciri sama seperti model SUV, varian Audi Q8 e-tron Sportback hadir dengan imej lebih sporty menerusi efek siluet elegan dan kemas untuk kecekapan aerodinamik terbaik.
Dengan rekabentuk beremosi dan teknologi revolusionari, coupe Audi e-tron GT (2023) mengintepretasi semula idea klasik sebuah gran turismo. Varian e-GT terdiri daripada Audi RS e-tron GT yang ikonik, Audi e-tron GT quattro, dan Audi e-tron GT quattro (dengan Dynamic Package).
Semua model itu menjanjikan prestasi pemanduan dinamik, dan terima kasih kepada teknologi pacuan semua roda (AWD) quattro elektrik yang revolusionari.
Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter berkata, pengenalan ini hanya permulaan kerana Audi sudahpun berusaha membawa masuk lebih banyak model e-tron ke Malaysia, termasuk model perdana (flagship) SQ8 dan Q6 e-tron yang bakal debut global hujung tahun ini.
Semua model Audi e-tron dipakejkan waranti dua tahun tanpa had perbatuan, waranti bateri lapan tahun atau perbatuan 160,000km, dan bantuan jalanan lima tahun percuma.
Pelanggan boleh mendapatkan Pakej Jaminan Audi (Audi Assurance Package, AAP) yang menawarkan waranti tambahan dan penyenggaraan tiga tahun dengan selang servis 15,000km.
Semua model e-tron didatangkan dengan Charging System Compact mudah alih sebagai kemudahan mengecas di mana-mana sahaja.
Sistem itu terdiri daripada unit pengecas kompak pintar dan kabel. Cara penggunaan adalah sambungkan saja kepada kereta dan soket standard di rumah dengan output 1.8kW-2.3kW, atau menerusi bekalan kuasa 3-fasa dengan output 11kW.
Kuasa pengecasan boleh ditetapkan pada 100 peratus dan 50 peratus bagi mengelak berlaku masalah beban lampau (overload) kepada sistem elektrikal rumah. Pemilik juga menerima kredit JomCharge bernilai RM1,000 secara percuma dengan tempoh sah setahun.
PHSAM juga bekerjasama dengan penyedia penyelesaian tenaga Eropah, MOON POWER untuk menyokong aspek pengecasan pemilik e-tron di Malaysia.
MOON POWER ialah subsidiari Porsche Holdings Salzburg (PHS) yang menandakan kemasukan pertama jenama itu di pasaran luar Eropah.
Pelanggan diberikan pilihan membeli pengecas kotak dinding (wallbox) MOON POWER berkapasiti 11kW dan 22kW bermula September 2023. Setiap unit MOON POWER sudahpun menjalani kawalan kualiti ketat demi memenuhi piawaian pengecasan dan keselamatan Audi.
BACA >>> Tempahan Audi e-tron (2023) Dibuka untuk Pasaran Malaysia, Harga RM369k-RM769k
BACA >>> Audi House of Progress Bawa Kereta Konsep grandsphere, Q8 e-tron Untuk Tontonan Umum Hingga 16 April
Leave a Reply