YAMAHA Motor Brazil (YMB) menawarkan satu lagi skuter edisi khas, Yamaha NMAX Connected ABS Mandalorian (2023) ke pasaran negara itu pada harga R$20,290 (RM18,420), dan hanya 400 unit ditawarkan.
Skuter warna Silver Beskar (coklat perak) itu menampilkan grafik badan istimewa daripada siri Star Wars: The Mandalorian yang menggunakan varian standard Yamaha NMAX 155 Connected sebagai asas.
Kata nama beskar untuk warna digunakan merujuk kepada logam yang sukar ditemui dan digunakan dalam pembuatan baju perisai pahlawan Mandalorian yang berwarna coklat.
Yamaha NMAX Connected ABS Mandalorian (2023) menerima dekal grafik badan dengan paparan kerjasama Star Wars | Yamaha, nama siri The Mandalorian dan slogan Mandalorian, 'This is the way'.
Ini model keempat dilancarkan menerusi kerjasama unik Star Wars | Yamaha selepas Yamaha NMAX Galactic Empire dan Yamaha NMAX Rebel Alliance pada 2020 serta Yamaha XMAX Darth Vader pada 2022.
YMB juga pernah menawarkan koleksi produk siri Marvel seperti Spiderman, Thor, Black Panther, Captain Marvel, Captain America dan Iron Man.
Yamaha NMAX Connected ABS Mandalorian (2023) dijana enjin 4-lejang 4-injap silinder tunggal 155cc SOHC penyejukan cecair berkuasa 15.4hp @ 8,000rpm dan tork 13.7Nm @ 6,500rpm, manakala transmisi automatik CVT.
Skuter ini dilengkapi ciri standard model asas seperti sistem mula-henti, sistem penghidup tanpa kunci, konektiviti Y-Connect dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
Leave a Reply