UMW Toyota Motor (UMWT) membentangkan strategi haluan syarikat itu dalam menyokong misi Malaysia menjadi negara neutral karbon menjelang 2050 dengan membawa masuk unit sampel kenderaan elektrik bateri (BEV) Toyota bZ4X.
Unit itu didaftarkan UMWT di Malaysia sebagai sebahagian strategi Beyond Zero Toyota untuk penilaian pasukan teknikal syarikat, dan pihak berkepentingan dalam sektor Kerajaan dan swasta yang berusaha merealisasi solusi pengangkutan peribadi rendah karbon.
Pada Januari lalu, lima unit Toyota Mirai diserahkan kepada SEDC Energy Sarawak dan Premier Yang Amat Berhormat (YAB) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg.
Toyota Mirai ialah kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV) yang menjadi sebahagian usaha Sarawak memulakan ekonomi hidrogen di negeri berkenaan.
Selain Mirai dan BZ4X, model hibrid (HEV) Toyota Corolla Cross Hybrid yang kini dipasang di subsidiari UMWT Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Selangor turut menunjukkan komitmen UMWT ke arah neutral karbon.
UMWT Shah Alam menganjurkan pameran strategi pelbagai laluan syarikat ke arah neutraliti karbon dengan mempamerkan Toyota bZ4X dan potongan Sistem Hibrid Toyota yang melambangkan asas kepimpinan Toyota dalam teknologi HEV.
Toyota menjual 18.1 juta unit kenderaan seluruh dunia sejak 1997, dan sehingga kini sudah menjual lebih 20 juta EV seluruh dunia yang menyumbang kepada pengurangan karbon dioksida (CO2) sebanyak 165 juta tan metrik.
Model hibrid Toyota mempunyai sejarah panjang yang terbukti reliabel dalam kondisi jalan raya Malaysia sejak 2009. Ini kerana sistem pacuan elektrik hibrid penuh dwi-motor yang mengecas sendiri tidak bergantung pada infrastruktur pengecasan awam.
Toyota percaya HEV adalah penyelesaian paling praktikal dan kos efektif untuk rakyat Malaysia masa kini yang menjanjikan pengurangan karbon serta-merta tanpa menjejaskan praktikaliti pemanduan jauh dan tenang fikiran.
Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata;
Untuk Malaysia, kami percaya HEV paling sesuai untuk rakyat Malaysia kerana sumber bahan api janaan elektrik kami dan ketersediaan infrastruktur pengecasan luar pusat bandar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
"Kami akan menambah lebih banyak model HEV pada 2023."
Bagaimanapun, Toyota menyedari teknologi BEV sangat penting ke arah misi neutral karbon. Justeru bagi menyokong ekosistem mesra BEV, UMWT akan menyokong visi Malaysia mencapai 4,000 poin pengecasan EV menjelang akhir tahun ini.
Apabila infrastruktur yang menyokong BEV bertambah baik, UMWT akan melancarkan model BEV dalam tempoh terdekat.
Toyota menjual kenderaan ke lebih 170 negara seluruh dunia dan memahami keperluan pelanggannya sangat berbeza. Begitu juga ketersediaan tenaga boleh diperbaharui yang bersih. Justeru Toyota tidak akan meninggalkan mana-mana kumpulan pelanggan dalam usaha mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.
Ravindran K berkata;
Pelanggan Toyota datang dari latar belakang pelbagai, bukan saja pelanggan yang tinggal di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, tetapi juga Malaysia Timur.
"Kami percaya dalam memberi pilihan kepada pelanggan yang akan menentukan solusi hijau terbaik untuk mereka. Kami akan terus menilai pilihan berbeza dan memperkenalkan mengikut kesesuaian."
BACA >>> Skandal Daihatsu: UMW Toyota Sahkan Vios Serba Baharu Patuh Regulasi Kualiti
BACA >>> UMWT Kekal Jenama Bukan Nasional No. 1 Malaysia, Banyak Model Baharu Bakal Lancar
Leave a Reply