ADA persatuan bas ekspres mendedahkan kepada kami industri pengangkutan Malaysia dibelenggu masalah kehilangan hampir 40 peratus pemandu disebabkan pandemik Covid-19.
Sumber sama mendakwa masalah itu sudah dikongsi kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam satu pertemuan minggu lalu.
BACA >>> Bas Pelancong Tidak Guna Pemandu Pelancong Diiktiraf Boleh Didenda RM5k!
Apabila ditanya isu tersebut, Loke menjawab;
Memang betul, industri bas ekspres mengalami kekurangan pemandu. Bukan saja bas ekspres, tetapi keseluruhan industri pengangkutan awam mengalami masalah kekurangan pemandu.
"Bas ekspres kurang, bas henti-henti pun tak cukup dan lori pun tak cukup. Industri lori pun tidak mencukupi (pemandu) untuk prime mover (lori jenis treler) dan sebagainya.
"Memang kita tau (industri) tak cukup pemandu. Antara sebabnya (mengambil contoh) industri bas ekspress. Ketika Covid-19 dua tahun lalu, kebanyakan bas ekspress tidak berjalan. Operasinya agak berkurangan dan sudah tentu pemandu beralih menjadi pemandu e-hailing dan sebagainya. Ini jadi kekangan tak cukup pemandu."
PEMANDU MALAYSIA PILIH SINGAPURA
Loke juga menjelaskan Kementerian perlu memperinci isu kekurangan pemandu supaya langkah membantu pemain industri dapat dilakukan.
Beliau berkata;
Dalam dialog saya bersama persatuan minggu lepas, saya minta persatuan bantu mengenal pasti daripada ahli-ahli mereka. Operator nak berapa pemandu, di negeri mana. Sebab selalunya dalam dialog, cakap tak cukup saja. Tapi tak cukup di mana? Negeri mana tak cukup? Syarikat mana yang perlu? Berapa pemandu diperlukan?
"(Kalau) dah dapat angka itu, kita boleh buat intervensi supaya kita boleh dapatkan pemandu-pemandu ini. Mungkin kita buat job fair (pameran kerjaya) khusus untuk industri pengangkutan di kawasan tertentu.
"Biasanya kita buat job fair besar saja. Tapi kita nak cari dan bagi peluang pekerjaan di negeri dan bandar kecil. (Contoh) Di Negeri Sembilan membabitkan Jelebu, Kuala Pilah dan Tampin.
"Tempat ini mungkin anak-anak muda tak ada kerja. Jadi kita akan pergi pasarkan (tawarkan) di kawasan yang mungkin dapat lebih ramai orang yang minat (cari peluang kerjaya)."
PAMERAN KERJAYA KHAS UNTUK INDUSTRI PENGANGKUTAN
Loke mengakui faktor gaji di negara jiran juga menjadi punca kekurangan pemandu sektor pengangkutan di Malaysia, tetapi menyatakan Kementerian Pengangkutan bersedia mengambil pendekatan lebih proaktif untuk menyelesaikan masalah dihadapi pemain industri.
Keduanya, mengapa kurang adalah ramai juga pemandu pergi bekerja sebagai pemandu di Singapura. Kebanyakan pemandu bas di Singapura ialah pemandu dari Malaysia. Sebab gajinya lebih tinggi. Itu antara faktornya (kekurangan pemandu di Malaysia).
"Kerajaan baru-baru ini daripada bajet (Belanjawan 2023) mengumumkan Kerajaan boleh tampung mereka mendapat lesen PSV dan ini antara inisiatif kita.
"Jadi katakan jika seorang anak muda nak jadi pemandu dan nak dapatkan lesen PSV dan GDL. Dia mungkin tak ada duit, kita tampung dan kita bantu dia dapatkan lesen. Ini juga antara cara kita buat (selesai isu kekurangan pemandu).
"Saya dah beritahu, mereka patut kumpulkan maklumat supaya kita boleh adakan kerjasama strategik. (Misalnya) Tahun ini dia (persatuan) nak berapa (pekerja pemandu), dia kena tanya ahli-ahli.
"Kumpulkan daripada industri nak berapa dan di mana. Bukan semua syarikat bas berpangkalan di Kuala Lumpur. Sebab ada bas-bas berpangkalan di negeri masing-masing. Apa yang kita maksudkan, pemandu itu datang dari negeri masing-masing. Dia mesti ada sasaran program cari pekerja di negeri asal mereka (operator bas)."
BACA >>> #Belanjawan2023: Kerajaan Tanggung Bayaran Ujian Memandu
TRAFIK SESAK, BANYAK KESAN EKONOMI
Apabila diminta mengulas kesan ketandusan pemandu terhadap ekonomi Malaysia, Loke berkata;
Ia memberi kesan kepada operasi industri pengangkutan. Contohnya, jika industri tak cukup bas, tak cukup pemandu dan pada musim-musim puncak, ia memberi pelbagai kesan.
"Kalau kita ada lebih banyak bas, sudah tentu kita mahu uarkan kepada orang ramai guna pengangkutan awam pada musim perayaan untuk balik kampung dan tidak menyebabkan kesesakan teruk.
"Umpamanya, musim perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya dan sebagainya pada tahun lepas. Orang semua nak balik kampung dan semua pakai kenderaan persendirian.
"Pertamanya, tawaran bas tidak cukup, tawaran pengangkutan awam tidak cukup. Ini beri pelbagai kesan kepada rangkaian kita."
Beliau menegaskan misi Kementerian Pengangkutan adalah mahu orang ramai menggunakan 40 peratus pengangkutan awam, tetapi sasaran itu masih jauh.
BACA >>> Van Persiaran Bawa 14 Penumpang Terbabas di Genting Highlands, 6 Mangsa Maut
BACA >>> Anthony Loke: Serap Kos Ujian Lesen Bantu Anak Muda Ceburi Ekonomi Gig
BACA >>> Menteri: Kerajaan Jimat RM96j Setahun dengan Cukai Jalan, Lesen Memandu Digital
Leave a Reply