AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengesyorkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah menggantung serta-merta pembangunan dan aktiviti terhad di zon perlindungan kereta api berikutan gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Ampang pagi tadi (27 Januari).
Menurut APAD, perkara itu disyorkan selaras Peraturan 8 P.U. (A) 367 hingga punca sebenar gangguan diketahui dan segala aspek serta keperluan keselamatan dipatuhi pemilik projek.
APAD mengambil maklum insiden gangguan perkhidmatan LRT Laluan Ampang pagi ini atas faktor keselamatan akibat penjajaran landasan yang bengkok berhampiran stesen LRT Bandaraya.
Berdasarkan pemeriksaan dan pemerhatian awal APAD, terdapat satu kerja pembangunan dijalankan bersebelahan landasan kereta api dalam kawasan Rizab Kedua LRT tanpa sebarang perundingan dengan agensi itu di bawah Peraturan-Peraturan Kereta Api (Zon Perlindungan Kereta Api) 1998 [P.U. (A) 367].
APAD memandang serius isu tersebut dan sedang bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk mengenal pasti punca berlaku insiden berkenaan.
Selain itu, pihak Prasarana diminta menyediakan alternatif perkhidmatan mencukupi bagi menampung jumlah penumpang tinggi, terutama waktu puncak, termasuk membuat makluman berterusan kepada pengguna.
APAD juga akan terus memantau perkembangan gangguan perkhidmatan kereta api tersebut, termasuk alternatif perkhidmatan disediakan hingga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.
BACA >>> Rel Bengkok, Tiang Utama Retak Punca Tren Laluan LRT Ampang-Sri Petaling Lewat
BACA >>> Netizen Kagum Banyak Eskalator Rosak di Stesen LRT Segera Dibaiki
SUMBER: Bernama
Leave a Reply