KTM mendedahkan jentera baharu bagi siri perlumbaan MotoGP musim ini - KTM RC16 2017 - di Austria dengan tampil segar bermula dalam saingan ujian pertama 2017 di Litar Antarabangsa Sepang dan Phillip Island sebagai persediaan tahun ini.
Bersama rekabentuk badan berlatar belakangkan jenama Red Bull, selaku jenama utama jentera itu, KTM RC16 menyerlahkan beberapa perubahan yang dilakukan pada ujian pra musim di Australia minggu lalu.
Bahagian sisi jentera didominasi tanda nama Red Bull dan KTM dalam warna merah dan hitam/oren. Lebih istimewa, pembias angin di muka depan motosikal tertera jelas perkataan 'Visit Malaysia'. Model tersebut muncul bersama pelumba, Bradley Smith dan Pol Espargaro.
PENDATANG BARU CUBA CIPTA NAMA
KTM adalah antara pendatang baharu dalam perlumbaan berprestij seperti MotoGP. Penyertaan KTM dilihat tepat pada masanya dalam usaha pengeluar itu melonjakkan jenamanya ke arena permotoran antarabangsa. Espargaro berkata, jentera baharu itu agak liar tetapi sangat selesa.
“Setiap kali perlumbaan, kami semakin hampir. Kenangan terindah adalah apabila dapat melihat evolusi berkenaan. Terima kasih kepada KTM atas kepercayaan diberikan,” katanya.
Smith pula mengakui menghadapi tekanan, tetapi berterima kasih dengan peluang diberikan.
“Pasukan kami bekerja sangat keras. Kami sibuk dengan ujian musim sejuk dan kerja tidak akan berhenti. Ini permulaan dan saya teruja melihat potensi 2017,” katanya.
Acara sama turut menyaksikan debut jentera projek Moto2 dan Moto3.
Leave a Reply