BMW M5 generasi E39 (1999-2003) disebut ramai pengulas automotif sebagai antara sedan sport terbaik sepanjang zaman. Terima kasih kepada gabungan enjin menakjubkan, karakter pemanduan hebat dan rupa yang cukup mempesona.
Jelas sekali bukan sedikit usaha dan masa dikorbankan BMW dalam usaha membangunkan model tersebut. Sebagai jentera yang menawarkan karakter pengendalian sporty dan keselesaan pemanduan jelajah, ujian ke atas sistem suspensi kereta itu mesti dilakukan sebaik mungkin. Video di bawah ini menunjukkan bagaimana BMW melakukan ujian ke atas suspensi BMW M5 (E39) bagi mendapatkan tahap kesempurnaan diingini.
RIG UJIAN DALAM MAKMAL
Menggunakan rig ujian untuk memegang suspensi depan di atas trek berputar pegun, satu pengoperasi bekerja mengawal dua roda ketika trek melakukan pecutan dan menyahpecutkan tayar. Berasaskan video itu juga anda dapat melihat bagaimana roda stereng berputar ke kiri dan kanan, sekali gus mengenakan daya pada setiap komponen suspensi di setiap sudut.
Brek turut diuji pada tahap maksimum hingga rotor kelihatan membara dan semua itu dilakukan untuk menunjukkan betapa serius BMW menguji produk mereka seoptimum mungkin.
BACA >>> 7 Model BMW 3 Series Terbaik Sepanjang Zaman
Jangan tidak tahu, semua ujian tersebut dilakukan tanpa perlu mengusung prototaip kereta sebenar keluar dari makmal. Apa ditunjukkan itu semestinya sesuatu yang sangat mengagumkan apabila dapat melihat bagaimana sebuah kereta popular dibangunkan menggunakan teknologi 1990-an.
Mungkin bagi BMW, kenapa perlu bersusah payah melakukan ujian luar sedangkan mereka mampu melakukannya di dalam makmal dengan keputusan yang cukup menakjubkan!
* Durasi video: 2:31
SUMBER: Road and Track
Leave a Reply