POLIS dan bomba menemui mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Oktober tahun lalu bersama kereta Nissan Grand Livina dipandunya yang tengelam dalam sungai dekat Jambatan Sungai Api Api, Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, di Pekan, Pahang semalam.
Polis menerima panggilan daripada seorang pekerja am ladang yang ternampak bumbung kereta dalam sungai sekitar jam 11.39 pagi. Bertindak atas aduan tersebut, sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan dan bomba Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Nenasi dan Pekan ke lokasi kejadian untuk siasatan dan operasi menyelamat.
BACA >>> Nissan Serena S-Hybrid (2022) Versi Dipertingkat Lancar, Harga Mula RM149k!
BACA >> Civic Type R Hilang di Genting Sudah Jumpa!
Pengadu mendakwa ternampak objek seperti bumbung kereta dalam sungai ketika hendak membuang sebatang besi yang dijumpai atas jalan ke dalam sungai sebelum menghubungi Balai Polis Nenasi.
Menurut siasatan polis, tiada unsur jenayah berlaku dan kenderaan mangsa dibawa naik menggunakan jengkaut dan lori tunda sekitar jam 4.40 petang.
Pemeriksaan lanjut menemukan satu rangka mayat yang diselaputi lumpur sungai, termasuk pas pekerja syarikat Oil & Gas Safety Passport (OGSP) atas nama Iman Aqmar dan kad CIDB atas nama Muhammad Iman Aqmar.
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan berlumpur pula mendapati model itu ialah kereta jenis Nissan Grand Livina dengan kesan rosak pada bahagian depan, kiri dan kanan. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk tujuan bedah siasat, manakala kenderaan dibawa ke IPD Pekan untuk siasatan lanjut.
Siasatan ke atas pemilik kenderaan mendapati ada dua laporan polis dibuat pemilik di Pasir Gudang, Johor, pada 30 Oktober 2021 dan 2 Jun lalu.
Kedua-dua laporan polis tersebut ada kaitan dengan kehilangan anak lelaki pemilik bernama Iman Aqmar Dzulkarnain, berusia 25 tahun bersama kenderaan Grand Livina dipandu mangsa.
Dalam laporan itu, pemilik mendakwa anak lelakinya keluar dari rumah pada 29 Oktober tahun lalu sekitar jam 1 pagi dari rumahnya di Pasir Gudang, Johor dengan memandu Grand Livina tersebut. Bagaimanapun, ibu mangsa gagal menghubungi anaknya pada 30 Oktober 2021.
Susulan penemuan itu, polis bertindak menghubungi pemilik kenderaan terbabit dan meminta untuk hadir ke IPD Pekan bagi tujuan pengecaman ke atas kenderaan, pakaian dan dokumen dijumpai bersama mangsa. Bedah siasat akan dilakukan Patalogi HTAA, manakala spesimen si mati akan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan pengesahan identiti si mati.
BACA >>> Myvi Terjunam Masuk Sungai, Anak 4 Tahun Maut, Seorang Lagi Koma
SUMBER: UtusanOnline
Leave a Reply