POLIS menumpaskan lima geng curi motosikal rentas negeri menerusi penahanan 21 individu, termasuk seorang pelajar sekolah dalam beberapa serbuan di Kedah dan Pulau Pinang, baru-baru ini.
Kumpulan penjenayah itu terdiri daripada anggota Geng Kupang, Geng Humairah, Geng Chot, Geng Pondok dan Geng Junjong yang ditahan dalam operasi antara 18 Mei dan 1 Jun lalu.
Menurut polis, operasi dilancarkan susulan peningkatan kes kecurian motosikal di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang menyaksikan 37 kes kehilangan motosikal sepanjang April dan Mei lalu.
Dalam operasi itu, polis menahan 21 orang, termasuk dua wanita yang berusia antara 14 dan 37 tahun yang aktif mencuri motosikal sekitar Pulau Pinang dan Keda. Semua suspek ditahan dalam serbuan sekitar Kupang, Baling, Sik dan Junjong di Kedah serta Seberang Perai Utara, Juru dan Bukit Tengah.
Operasi sama turut merampas 12 motosikal, tiga casis motosikal dan satu enjin motosikal, dipercayai hasil curi. Penangkapan lima geng itu berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian motosikal sekitar Pulau Pinang. Sebahagian suspek ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan curi motosikal, pecah rumah dan dadah.
Salah seorang ditahan itu ialah pelajar Tingkatan Dua, manakala suspek lain kebanyakannya penganggur, bekerja sendiri dan buruh. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
BACA >>> Video Curi Motosikal dalam Rumah Sepantas 1 minit 10 Saat di Gombak
BACA >>> Syarikat Korea Bangunkan Teknologi Biometrik untuk Elak Kes Curi Motosikal di Lot Parkir
Leave a Reply