JIKA sebelum ini kami menceritakan tentang Nissan Juke dengan nadi hibrid untuk pasaran Eropah, kali ini pasal Qashqai e-POWER (2022) pula.
Qashqai ialah crossover kompak yang dipasarkan di Eropah yang kini sudah memasuki generasi ketiga. e-POWER pula ialah teknologi canggih dibangunkan Nissan yang mana enjin pembakaran dalaman (ICE) bertindak sebagai generator untuk membekalkan tenaga kepada sistem elektrik.
BACA >>> Nissan Qashqai (2021) Lancar, SUV Segmen-C yang Kemas, Bergaya!
BACA >>> #Perbandingan: Perbezaan Toyota Corolla Altis Petrol vs Hibrid (2022)
Berbeza sistem hibrid biasa, enjin tidak menggerakkan roda, sebaliknya tugas itu dilakukan motor elektrik. Pengenalan Qashqai dengan teknologi e-POWER menjadikan ia model Nissan pertama menggunakan sistem tersebut di Eropah.
Nissan sebelum ini memperkenalkan Kicks e-POWER di Thailand dan Indonesia. Sistem e-POWER kali pertama diperkenalkan di Jepun pada 2016 menerusi model kompak Note (MY2017) yang berjaya menjadi model terlaris di sana pada 2018.
e-POWER ialah teknologi ideal kepada pengguna yang tidak boleh dan tidak mahu mengecas kenderaan menggunakan pengecas berkabel. Ia juga sesuai buat pengguna yang mahu beralih kepada kenderaan elektrik pada masa depan.
Perincian Qashqai e-POWER (2022) Versi Eropah:
- Sistem e-POWER terdiri daripada bateri output tinggi, enjin 3-silinder 1.5L Turbo berkuasa 156hp, generator kuasa, inverter dan motor elektrik dengan output maksimum 140kW (188 hp).
- Note digerakkan enjin petrol 3-silinder 1.2L berkuasa 80hp yang mengecas unit bateri dengan kuasa akhir 95kW (127hp).
- Enjin petrol 1.5L Turbo menjana tenaga elektrik yang dipindahkan kepada pek bateri, motor elektrik atau kedua-duanya melalui inverter mengikut situasi pemanduan.
- Enjin tersebut menggunakan teknologi mampatan variabel yang kali pertama digunakan subsidiari kenderaan premium Nissan, Infiniti pada 2018.
- Pernah disenaraikan pertubuhan automotif Amerika Syarikat, Wards sebagai antara sepuluh enjin terbaik dunia.
Nisbah Mampatan Berbeza Mengikut Keperluan Kuasa
- Menggunakan kaedah pelarasan nisbah mampatan bagi memberikan prestasi atau penjimatan mengikut beban enjin.
- Variasi nisbah mampatan antara 8:1 dan 14:1 yang dioperasikan menerusi pergerakan aktuator untuk mengubah lejang (stroke) piston mengikut permintaan kuasa.
- Apabila permintaan kuasa rendah seperti halaju malar (constant) dan kadar pengecasan baik dalam bateri, nisbah mampatan akan berada pada julat lebih tinggi dan mengoptimumkan penggunaan dan pelepasan emisi.
- Apabila permintaan kuasa tinggi, atau bateri perlu dicas, atau bekalan kuasa secara terus kepada motor, nisbah kuasa mampatan lebih rendah akan diaktifkan dan sistem memaksimumkan output kuasa daripada enjin atau secara ringkasan enjin beroperasi lebih aktif.
- Transisi antara nisbah mampatan berbeza itu berlaku tanpa input diperlukan daripada pemandu.
Penalaan Kuasa Linear
- Aspek utama dalam pembangunan sistem e-POWER untuk Qashqai adalah supaya pelanggan dapat merasakan sensasi pemanduan yang mana halaju enjin petrol kekal relatif dengan halaju kereta atas jalan.
- Jurutera Pusat Teknikal Nissan Eropah (NTCE) di Britain dan Sepanyol bekerjasama bagi membangunkan sistem dipanggil Linear Tune.
- Fungsinya, mengawal enjin dan meningkatkan kelajuan enjin secara progresif bagi memenuhi permintaan tenaga daripada motor elektrik ketika memecut dan memastikan pemandu tidak rasa terputus dari segi prestasi dan bunyi.
- Talaan dibuat bagi mencegah situasi janggal apabila rev enjin berputar tinggi, tetapi tidak diterjemahkan berpadanan atas jalan.
Kelebihan Enjin dan Sistem e-POWER
- Enjin beroperasi pada julat optimal dan nisbah mampatan terbaik yang menyumbang kepada penjimatan bahan api dan pelepasan karbon dioksida (CO2) lebih rendah berbanding enjin pembakaran dalaman tradisional.
- Turut menyumbang kepada bunyi enjin lebih rendah.
- Pacuan elektrik sepenuhnya memberi prestasi tujahan segera tanpa tangguhan seperti hibrid biasa.
- Bagi memaksimumkan prestasi ketika memecut atau dalam halaju tinggi, unit kawalan pengurusan tenaga (EMC) boleh menghantar kuasa janaan enjin 1.5L terus kepada motor elektrik menerusi inverter bagi meningkatkan bekalan elektrik daripada bateri.
Tawaran Qashqai e-POWER adalah tambahan kepada Qashqai 1.3L hibrid ringan (MHEV) dalam dua varian output, 138hp (103kW) dan 156hp (116kW).
BACA >>> Nissan Juke Hybrid dengan Kacuk Transmisi Renault!
BACA >>> Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi Setuju Bangunkan EV dengan Identiti Berbeza
Leave a Reply