ANTARA sisi utama dunia automotif adalah kelajuan. Angka seperti pecutan 0-100 kmj, kelajuan maksimum, kuasa kuda dan tork pasti ditonjolkan kepada pengguna.
Kenapa semua itu penting? Penulis tidak pasti kerana semua itu sudah sebati dalam industri sejak sekian lama. Selain itu pernahkah anda tertanya kenapa spidometer kereta dicetak hingga 220kmj atau paling kurang 180kmj?
Walhal, sesebuah kereta tidak semestinya, atau mustahil mencapai kelajuan itu, tetapi tetap dipaparkan pada spidometer. Pasti ada sebab dan mungkin ada kaitan dengan psikologi manusia yang sukakan kelajuan.
Bercakap mengenai prestasi, ada satu litar di dunia yang menjadi penanda aras pengeluar kereta. Paling laju di sini bermakna anda ialah king. Litar yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan, Nürburgring Nordschleife di Jerman.
BACA >>> #TahukahAnda: Apa yang Hebat Sangat Pasal Litar Nürburgring?
BACA >>> 'Pasukan Hidung Audi' - Unit Khas untuk Hidu Bau Material Kereta
Rekod di Nürburgring sekian lama dihebahkan pengeluar, tetapi mula menjadi fenomena selepas Honda mencatatkan kelajuan terpantas untuk kereta pengeluaran pacuan roda depan (FWD) atau dua roda (2WD) menerusi Civic Type R dengan kelajuan 7 minit 43.8 saat pada 2017.
Rekod tersebut kemudian dipadamkan Renault Megane R.S Trophy-R dengan masa 7 minit 40.1 saat pada 2019.
Jika kedua-dua model itu mencatatkan masa terpantas untuk kereta pengeluaran 2WD, Audi RS3 Saloon pula kini ialah king untuk model kompak di Nürburgring.
Definisi kompak di sini boleh didebatkan, tetapi setiap negara dan pasaran ada definisi berbeza. Apa yang jelas, RS 3 Saloon dengan pemandu Frank Stippler mencatatkan masa 7 minit 40.748 saat.
Sebagai perbandingan, Mercedes-AMG A45 S 4Matic+ mencatatkan masa 7 minit 48.8 saat.
BACA >>> Renault Megane RS Trophy-R (2019) Pecah Rekod Type-R di Nürburgring, 7:40.1 minit!
BACA >>> Honda Civic Type-R Catat Rekod Baru FWD di Nürburgring
Seperkara menarik tentang catatan masa Audi RS3 ialah:
- Audi hanya melaras tekanan tayar semi-slik Pirelli P Zero 'Trofeo R' mengikut kondisi litar.
- Pemisah tork (torque splitter) membantu dan kali pertama diguna untuk model Audi.
- RS 3 ialah model pertama Audi yang menggunakan teknologi torque splitter.
- Tugas torque splitter adalah membahagikan daya tork roda belakang yang dikawal klac cakera ganda (multiple disc clutch) pada setiap syaf pacu (drive shaft).
- Secara spesifik, ketika pemanduan berprestasi,sistem torque splitter akan meningkatkan pacuan tork pada roda sebelah luar. Ini bermakna apabila kereta membelok ke kanan, roda belakang sebelah kiri akan mempunyai tork lebih tinggi dan begitu sebaliknya jika membelok ke kiri.
- Sistem torque splitter membolehkan RS 3 menerkam masuk selekoh lebih baik dan patuh pada sudut posisi stereng lebih tepat.
TAYAR SEMI SLIK PIRELLI P ZERO 'TROFEO R'
Padanan kepada tetapan sistem torque splitter ialah tayar Pirelli P Zero 'Trofeo R' yang menjadi opsyen pembelian, dan dua lagi komponen, iaitu brek seramik 19 inci di depan, suspensi sport RS dengan kawalan damper adaptif (adaptive damper control).
Sistem itu beroperasi secara independen (setiap satu) yang berterusan melaraskan setiap absorber mengikut kondisi jalan, situasi pemanduan dan mod pandu yang dipilih menerusi Audi Drive Select. Mod RS Performance menawarkan dua tetapan untuk trek berbeza.
Tetapan pertama untuk keselesaan di trek tidak sekata dan ada bahagian yang condong ke bawah seperti Nürburgring dengan cabaran tersendiri. Tetapan kedua, sporty untuk trek seperti Hockenheimring di Jerman yang mempunyai perbezaan ketinggian (elevation).
BERAPAKAH KELAJUAN RS 3?
Kereta Jerman ini dijana enjin 5-silinder 2.5L TFSI berkuasa 400ps (398hp) dan tork 500Nm, manakala kelajuan maksimum 290 kmj yang juga tertinggi dalam segmennya. Pecutan 0-100kmj juga tertinggi dalam segmen model itu, iaitu sepantas 3.8 saat!
HARGA?
Di Britain, RS 3 ditawarkan dalam dua gaya badan iaitu Sportback dan Saloon yang masing-masing berharga £50,900 (RM298,750) dan £51,900 (RM304,620).
Berminat? Audi sebenarnya ada peminat tersendiri dan ada saja model RS yang sentiasa dibawa masuk ke Malaysia menerusi pengimport bebas.
BACA >>> Audi RS Q3 Sportback - SUV 5-Silinder Berkuasa 400hp, 480Nm
BACA >>> Audi RS6 Avant - Definisi Sebenar Wagon Prestasi Tinggi (598hp, 800Nm)!
Leave a Reply