SUPERBIKE terpakai mungkin menarik minat anda kerana harganya yang sangat murah jika dibandingkan dengan nilai semasa ia baru dilancarkan dahulu.
Bagaimanapun, jangan terlalu mudah terpedaya dengan harga rendah dan pastikan anda mengambil kira aspek-aspek penting ini sebelum membeli motosikal idaman.
BACA >>> 5 Alasan Ini Mungkin Buatkan Anda Tidak Jadi Beli Superbike!
1. PASTIKAN APA YANG ANDA BENAR-BENAR INGINKAN
Sebelum membeli, pastikan anda benar pasti apa yang anda minat dan inginkan. Jangan hanya membeli motosikal hanya sebab ia berada di pasaran. Terdapat banyak jenis motosikal boleh dipilih seperti supersport, naked, adventure, cafe racer dan banyak lagi. Setiap jenis motosikal memberikan fiil yang berbeza dan pastinya anda mempunyai citarasa tersendiri. Lebih baik tunggang uji dahulu untuk memastikan motosikal itu sesuai dengan anda.
2. PASTIKAN MAMPU BAYAR SERVIS
Ini poin yang ramai orang terlepas pandang dan ambil ringan. Walaupun anda mampu membayar harga motosikal, pastikan poket anda mampu menampung kos servis dan alat ganti motosikal. Ini kerana model premium ini pastinya menelan belanja yang tinggi untuk membelainya.
Pastikan juga alat ganti model idaman anda mudah didapati di pasaran melainkan anda memang tidak kisah perlu menunggu lama untuk mendapatkan alat ganti.
3. PERIKSA REKOD SERVIS
Cara terbaik untuk memastikan sama ada superbike itu dijaga dengan baik adalah dengan memeriksa rekod servis di pusat servis berdaftar. Rekod servis yang baik dan lengkap adalah petanda motosikal itu dijaga dengan baik.
BACA >>> #ApaNakBuat: Inilah Komponen Motosikal yang Perlu Diservis Selepas Redah Hujan
4. PERGI BALAI SEBELUM DAN SELEPAS
Ini adalah perkara yang sangat penting dan mampu menyelamatkan anda. Sebelum membeli superbike idaman, pastikan anda pergi ke balai polis untuk memastikan motor tersebut bebas dari sebarang rekod saman dan jenayah. Ini kerana rekod lampau motosikal tersebut boleh menghantui anda terutamanya bila melibatkan rekod jenayah.
Selepas membeli pula, anda boleh pergi ke balai untuk membuat kenyataan bahawa anda adalah pemilik baharu motosikal tersebut. Ini boleh dijadikan sebagai bukti jika ada perkara tidak diingini berlaku pada anda.
5. LABUR PADA SUT KESELAMATAN
Walaupun anda dapat berjimat dengan membeli superbike terpakai, janganlah sekali-kali cuba berjimat bila melibatkan keselamatan diri. Laburlah sedikit wang untuk membeli jaket keselamatan, sarung tangan dan kasut yang berkualiti. Ini bukanlah satu pembaziran malah satu keperluan.
6. BELI INSURANS DIRI
Satu lagi pelaburan yang perlu dibuat untuk perlindungan diri anda. Ini kerana menunggang motosikal berkuasa tinggi juga datang dengan risiko kemalangan. Tidak salah sekiranya anda bersedia untuk sebarang kemungkinan dengan membeli insurans nyawa dan perubatan sebagai pelampung untuk anda.
BACA >>> #ApaNakBuat: Ikut 5 Tip Ini Kalau Nak Jaga Tayar Motosikal
BACA >>> #ApaNakBuat: 7 Tip Mudah Pilih Tayar Tiubles untuk Skuter
SUMBER: Auto.Hindustantimes.com
Leave a Reply