BEKERJA secara syif sama ada sebelah siang atau malam bukanlah sistem baharu. Namun, apa dialami pekerja syif malam abad ke-21 ini mungkin tidak sama seperti mereka yang bekerja zaman dahulu, iaitu risiko tinggi terbabit kemalangan.
Risiko itu, yang dipanggil Gangguan Tidur Kerja Syif (Shift Work Sleep Disorder, SWSD), biasanya dialami mereka yang bekerja syif malam dan bukan waktu biasa pada sebelah siang (9 pagi ke 5 petang).
Berdasarkan Klinik Cleveland, sekitar 20 peratus pekerja di Amerika Syarikat (AS) perlu bekerja mengikut syif. Sebanyak 10-40 peratus pekerja itu mungkin mengalami gangguan tidur.
Secara kasar, ada sekurang-kurangnya 2.5 juta pekerja berpotensi menghidapi SWSD, iaitu gangguan yang menyebabkan seseorang itu sukar hendak menyesuaikan jadual tidur/bangun yang berbeza. Ini secara langsung menyukarkan mereka tidur pada masa yang dimahukan.
Saintis di Universiti Missouri, Praveen Edara dan Carlos Sun cuba mengkaji kebolehan memandu seseorang pekerja apabila jam badan (body clock) mereka diganggu SWSD.
Berdasarkan data diperoleh Program Penyelidikan Lebuh Raya Strategik, penghidap SWSD berisiko tiga kali ganda terbabit kemalangan (atau hampir kemalangan) berbanding mereka yang tiada gangguan tersebut. Gangguan tidur lain seperi apnea dan insomnia pula menyebabkan 30 peratus risiko kemalangan lebih besar.
Salah seorang saintis, Edara berkata, magnitud peningkatan risiko terhadap pemandu yang mengantuk adalah sangat membimbangkan.
Menurut laporan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA), sebanyak 91,000 kemalangan melibatkan pemandu mengantuk direkodkan, yang melibatkan 50,000 kecederaan dan hampir 800 kematian. Bagaimanapun, masih belum jelas kenapa SWSD memberi risiko lebih besar terhadap keselamatan berbanding gangguan tidur lain.
Sebenarnya, ada cara untuk mengurangkan risiko kemalangan, dan salah satunya adalah mendapatkan rehat (tidur) mencukupi sebelum memandu. Pekerja juga dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam jika ada.
BACA >>> Kajian: Kenapa Ramai Pemandu Tak Guna Signal Belok?
BACA >>> Kajian: Bahan Api Hidrogen Bukanlah Bahan Api Baharu yang Baik
SUMBER: Car and Driver | Safety Science
Leave a Reply