APABILA membaca spesifikasi kereta baharu masa kini, kita pasti akan perasan mengenai ciri konektiviti telefon pintar Android Auto atau Apple CarPlay (atau kedua-dua sekali) yang dilengkapkan pada unit infotainment skrin sentuh pada konsol tengah papan pemuka kereta.
Tahukah anda apa sebenarnya ciri tersebut?
Teknologi hari ini sudah sangat sebati dengan kehadiran telefon pintar. Hampir semua perkara boleh dilakukan dengan peranti elektronik itu hingga membuatkan kita tidak boleh berhenti menggunakannya walaupun ketika memandu sama ada untuk melihat arah jalan, membalas mesej atau berhibur.
Sebenarnya, situasi tersebut sangat berbahaya kerana boleh mengganggu fokus pemanduan. Justeru, ciri Android Auto dan Apple CarPlay dibangunkan bagi menyenangkan pemandu menggunakan telefon pintar tanpa terlalu menjejaskan fokus memandu.
APAKAH ANDROID AUTO / APPLE CARPLAY?
Ini ialah platform perisian untuk pengguna mengakses fungsi telefon pintar dengan mudah secara terus pada unit infotainment kereta tanpa perlu lagi membelek peranti.
Apabila disambungkan, fungsi telefon pintar akan dipaparkan pada skrin unit infotainment kereta. Ini membenarkan antaramuka pengguna (UI) skrin infotainment asall diambil alih Android Auto atau Apple CarPlay.
Apa dipaparkan dua platform itu juga berbeza daripada paparan telefon pintar kerana memang direka khas untuk memudahkan urusan pemanduan, seperti penggunaan logo aplikasi lebih besar, dan antaramuka lebih ringkas.
AKSES ANDROID AUTO / APPLE CARPLAY?
Cara menggunakan dua platform ini sangat mudah. Pertama, aplikasi mobil Android Auto atau Apple CarPlay mesti dimuat turun terlebih dulu dalam telefon pintar.
Kemudian, pemandu perlu menyambungkan telefon pintar dengan kabel USB pada port pengecas khas yang disediakan dalam kereta (biasanya terletak berhampiran unit infotainment). Kerja menyambung kabel pengecas itu pula dibuat ketika kenderaan tidak bergerak. Apabila berjaya disambung, antaramuka Android Auto/Apple CarPlay akan terus terpapar pada skrin infotainment.
CIRI UTAMA ANDROID AUTO / APPLE CARPLAY?
Kebanyakan fungsi utama Android Auto dan Apple CarPlay melibatkan aplikasi yang kerap digunakan pemandu seperti berikut:
1. Navigasi
Android Auto dan Apple CarPlay akan memaparkan paparan navigasi di telefon pintar secara terus pada skrin unit infotainment. Paparan untuk aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze sedikit berbeza mengikut skrin unit infotainment.
Aplikasi navigasi ditawarkan dua platform itu jauh lebih baik kerana kebanyakan navigasi jenis terbina dalam (built-in) yang siap ada dalam kereta masih tidak cukup baik, tidak cukup dikemas kini dan agak susah digunakan.
2. Google Assistant / Hey Siri
Fungsi ini membenarkan pemandu mengakses ciri bantuan kecerdasan buatan (AI) daripada telefon bimbit untuk membuat panggilan, membaca mesej, menetapkan destinasi navigasi dan lain-lain secara arahan suara.
3. Lain-Lain Aplikasi
Ada beberapa aplikasi pihak ketiga lain boleh diguna dengan baik melalui platform Android Auto atau Apple CarPlay seperti WhatsApp, Facebook Messenger, Spotify dan banyak lagi.
VERSI ANDROID DAN iOS SESUAI UNTUK FUNGSI INI
Bagi pengguna Android, hanya sistem operasi (OS) Android OS versi 5.0 ke atas saja boleh menggunakan platform Android Auto. Bagi telefon pintar dengan Android OS versi 10 ke atas sudah siap didatangkan dengan fungsi Android Auto, iaitu pengguna tidak perlu lagi memuat turun aplikasi tersebut menerusi Google Play.
Pengguna Apple iPhone pula perlu menggunakan telefon pintar sekurang-kurangnya iPhone 5 ke atas dengan iOS versi 7.1 ke atas untuk mendapatkan fungsi Apple CarPlay. Kebanyakan kereta moden sudah dilengkapkan ciri konektiviti ini.
Namun, ada juga kenderaan yang masih tidak menyokong fungsi tersebut. Apapun, anda perlu lihat dulu spesifikasi kereta yang hendak dibeli.
BACA >>> Teknologi AI Akan Tentukan Siapa Layak Tunggang Motosikal di Singapura
BACA >>> #TahukahAnda: Inilah 6 Jenis Frem Kenderaan yang Perlu Anda Tahu
SUMBER: Digital Trends
Leave a Reply