SINGAPURA memang memandang serius isu rasuah. Jadi bukan kejutan jika republik itu memutuskan mahu menambah baik proses penilaian ujian memandu supaya telus dalam memastikan seseorang calon ujian itu benar-benar layak berada atas jalan raya.
Singapura akan menggantikan aspek penilaian manusia (elemen manusia) sedia ada, iaitu menggunakan perkhidmatan pegawai polis trafik untuk menil;ai calon, kepada ujian berdasarkan sistem kecerdasan buatan (AI).
Sistem AI itu, dipanggil Litar Pemanduan Pintar (IDC), akan mula digunakan tahun depan ke atas calon ujian lesen motosikal. Ini bermakna semua motosikal yang digunakan di litar ujian akan dipasangkan sensor dan kamera. Dua peranti itu berfungsi memberikan input kepada komputer untuk menganalisiskan data bagi menentukan calon tersebut layak dan memiliki kemahiran diperlukan untuk menunggang motosikal.
Contoh, jika penunggang gagal menghentikan motosikal pada jarak ditetapkan ketika menunggang pada halajua 30kmj, sistem IDC akan menggagalkan calon itu secara automatik.
Sistem juga akan menilai beberapa aspek lain seperti cara penunggang memegang bar hendal dengan baik, mengepit tangki minyak dengan dua lulut atau calon memandang terus ke depan ketika menunggang. IDC juga akan mencari kesalahan calon seperti menarik tuil klac sebelum membrek, tidak guna brek enjin (engine braking), guna daya brek tidak mencukupi atau menurunkan kaki sebelum motosikal berhenti sepenuhnya.
Ujian praktikal akhir kemudian dilakukan di jalan raya sibuk di ibu kota Singapura, tetapi masih ada penglibatan pemantau manusia atas sebab-sebab tertentu. Sistem IDC akan diuji bermula tahun depan membabitkan beberapa kategori lesen dalam Kelas 2 dan akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang 2023.
SISTEM UJIAN MEMANDU SINGAPURA
Sistem mendapatkan lesen memandu Singapura hampir sama dengan Malaysia. Calon perlu menghadiri kelas teori dan latihan praktikal di litar dan jalan raya. Bezanya, syarat lulus lesen di Singapura agak ketat jika membabitkan pemohon lesen motosikal besar. Berikut kelas lesen motosikal Singapura:
- Kelas 2B ialah lesen asas menunggang motosikal hingga 200cc.
- Selepas setahun, pemilik lesen Kelas 2B layak mengambil ujian lesen Kelas 2A untuk menunggang motosikal hingga 400cc.
- Kursus Kelas 2 hanya boleh diambil pemilik lesen Kelas 2A yang membolehkan pemegang lesen Kelas 2 menunggang semua jenis motosikal.
- Untuk mengambil lesen Kelas 2, penunggang perlu menjadi pemegang lesen Kelas 2A sekurang-kurangnya setahun.
BACA >>> Kerajaan Lanjut Tempoh Perbaharui Lesen Memandu, Lesen Kenderaan Motor Hingga 60 Hari
BACA >>> Mahu Contohi Singapura, Masuk Kuala Lumpur Bakal Dikenakan Tol
SUMBER: MotoPinas | MoneySmart
Leave a Reply