UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan satu lagi model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C baharu, Toyota Corolla Cross (2021) versi import (CBU) dari Thailand untuk pasaran Malaysia yang didatangkan dalam dua varian pilihan pada harga seperti berikut:
- Corolla Cross 1.8V - Bermula serendah RM134,000 (tanpa pengecualian cukai jualan)
- Corolla Cross 1.8G - Bermula serendah RM124,000 (dengan pengecualian cukai jualan hingga 30 Jun 2021)
Corolla Cross (2021) melakukan debut global di Thailand pada Julai 2020 dalam empat varian, termasuk trenkuasa hibrid yang tiada untuk pasaran Malaysia. Atas kertas, SUV kompak ini akan berentap dengan model pesaing seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan Proton X70.
Ada lima warna pilihan ditawarkan: Red Mica Metallic (merah), Platinum White Pearl (putih), Metalstream Metallic (perak), Graphite Metallic (kelabu gelap) dan Nebula Blue Metallic (biru).
BACA >>> #Spyshot: Toyota Corolla Cross Dikesan di Pelabuhan Klang
BACA >>> 10 Fakta Pantas: Toyota Corolla Cross (2020) Debut Global di Thailand, Harga RM132k
Berikut perincian Corolla Cross (2021) yang perlu anda tahu:
1. TRENKUASA
Trenkuasa dijana enjin petrol 4-silinder 16-injap 1.8L DOHC dengan Dual VVT-i berkuasa 139PS @ 6,400rpm dan tork 172Nm @ 4,000rpm dengan kelajuan maksimum 185kmj, serta dipadankan transmisi CVT Sequential Shiftmatic 7-kelajuan dalam konfigurasi pacuan roda depan (FWD).
2. DIMENSI
Dibangunkan berasaskan platform GA-C di bawah Arkitektur Global Baharu Toyota (TNGA) dengan pusat graviti lebih rendah yang memberikan lebih kestabilan, casis lebih kukuh dan ekstra keselesaan.
Memiliki dimensi panjang 4,460mm, lebar 1,825mm dan tinggi 1,620mm, manakala jarak roda 2,640mm dengan radius pusingan minimum 5.4 meter dan jarak lega bumi 161mm. Berat kasar SUV ini ialah 1,405kg.
3. LUARAN
Varian 1.8G (standard) menggunakan lampu utama jenis projektor halogen dan lampu siang (DRL), manakala varian 1.8V dipasangkan lampu Bi-LED untuk pencahayaan lebih baik bersama DRL LED gaya light curtain (gambar kanan, merah).
Kedua-dua varian dipadankan lampu LED untuk lampu kabus (depan dan belakang), termasuk unit lampu belakang. Varian 1.8V menggunakan rim aloi 18 inci (1.8G, rim aloi 17 inci). Setiap varian menggunakan sistem brek cakera depan dan belakang, serta dibekalkan ciri pintu but buka tendang automatik dengan menjulur kaki bawah bampar belakang.
4. DALAMAN
Ruang kabin dihiasi skema tona hitam. Kerusi dan tombol gear dibalut kulit, manakala perincian mendapat kemasan cat satin. Kerusi penumpang belakang boleh lipat 60:40. Varian 1.8V mendapat pencahayaan LED pada bahagian pintu depan, pemegang cawan dan konsol tengah.
Kedua-dua varian dilengkapi ciri kerusi pemandu elektrik boleh laras 8-tetapan. Kerusi penumpang depan jenis boleh laras manual.
Papan pemuka menampilkan kluster instrumen gaya sporty menerusi panel paparan multi-info (MID) berwarna 4.2 inci. Bahagian tengah menghidangkan unit infotainment skrin sentuh 9-inci dengan ciri kamera undur, auksiliari (AUX), USB dan fungsi wayarles untuk konektiviti Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth yang diatur bersama ventilator dan panel penyaman udara.
Kapasiti but seluas 440 liter boleh ditambah luas dengan merebahkan kerusi belakang yang membolehkan anda memuatkan muatan seperti dua basikal.
5. CIRI KESELAMATAN
Varian 1.8V dilengkapi pakej teknologi bantuan pemandu Toyota Safety Sense (TSS) yang menjadi sebahagian inisiatif Toyota Synergised Mobility (TSM). Berikut apa dibekalkan TSS 2.0 pada varian premium tersebut:
- Sistem Pra-Perlanggaran (PCS)
- Amaran Tukar Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng
- Kawalan Kruise Radar Dinamik (DRCC)
- Bantuan Pengesan Lorong (LTA)
- Lampu Tinggi Automatik (AHB)
Berikut ciri keselamatan standard yang diberikan pada kedua-dua varian:
- Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS)
- Enam sensor parkir (2 depan, 4 belakang)
- Tujuh beg udara SRS
- Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC)
- Kawalan Traksi (TRC)
- Kawalan Bantuan Daki Bukit (HAC)
- Signal Brek Kecemasan (EBS)
- Sistem Brek Antikunci (ABS)
- Agihan Brek Elektronik (EBD) dan Bantuan Brek (BA)
- Kawalan Mula Pandu
- Tali keledar 3-poin ELR dengan fungsi Force Limiter
- Filem solar dan Keselamatan Premium Toyota
- Sistem Telematik Kenderaan (VTS) untuk kesan kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS
- Immobilizer enjin
- Perakam Video Digital (DVR) bahagian depan
Ada dua opsyen tambahan disediakan untuk Corolla Cross, iaitu DVR belakang dengan pengecas wayarles sebagai opsyen kedua. Toyota turut menyediakan Sistem Telematik Kenderaan (VTS) untuk mengesan kedudukan kenderaan menggunakan isyarat GSM/GPS yang ditawarkan percuma selama tiga tahun.
Setiap pembelian dipakejkan bersama waranti lima tahun tanpa had perbatuan. Varian 1.8G kini sudah boleh dilihat di bilik pameran UMWT, manakala varian 1.8V akan tiba dalam masa terdekat. Tempahan kedua-dua varian dibuka bermula hari ini. Maklumat lanjut mengenai SUV ini boleh layari laman web www.toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol 1-800-8-TOYOTA (869682).
Leave a Reply