WAKIL pengedar motosikal Yamaha di Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) minggu lalu melancarkan kapcai terbaharu Y16ZR yang dipadukan teknologi injap variabel VVA dan beberapa ciri baharu lain untuk pasaran tempatan selepas debut di Vietnam, Disember lalu.
Yamaha mendakwa kapcai berstatus supermoped itu sebagai model paling berkuasa dalam kelas 155cc. Namun pendapat kami, agak tidak adil atau overclaim mengkelaskan Y16ZR mengikut kapasiti enjin memandang cuma kapcai itu saja didatangkan dengan 155cc. Maknanya, tiada pesaing.
BACA >>> Inilah 13 Ciri Menarik Yamaha Y16ZR (2021) yang Perlu Anda Tahu
Sepatutnya Y16ZR diletakkan dalam kelas sama, iaitu supermoped dengan kapasiti enjin atas 150cc dengan pesaing terdiri daripada Honda RS150R, SYM VF3i, Benelli RFS150i dan Suzuki Belang R150. Berdasarkan fakta semasa, tidak syak lagi VF3i masih menggungguli carta supermoped paling berkuasa di planet Bumi.
VF3i paling terbaharu ialah VF3i Pro yang paling terbaharu diperkenalkan Oktober tahun lalu. Ini ialah model edisi kemas kini, tetapi model VF3i itu sendiri sudah genap tiga tahun (bulan depan) di pasaran Malaysia sejak dilancarkan pada April 2018.
Tidak perlu bercerita panjang, kami senaraikan perbandingan antara Yamaha Y16ZR (2021) dan SYM VF3i Pro (2020):
SPESIFIKASI ENJIN: VF3i LEBIH BERKUASA, Y16ZR ADA VVA
VF3i Pro jelas lebih berkuasa (19.7hp) dengan tork tinggi (17.4Nm) berbanding Y16ZR (17.7hp, 14.4Nm). Persamaan, kedua-dua model menggunakan enjin jenis SOHC dan klac manual 6-kelajuan. Keistimewaan Y16ZR yang tiada pada VF3i Pro ialah enjin VVA yang menjanjikan hantaran gear lancar dan tepat dalam pelbagai kelajuan tunggangan.
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Teknologi VVA yang Perlu Anda Tahu
DIMENSI: Y16ZR LEBIH KOMPAK, TANGKI PETROL VF3i PRO LEBIH BESAR
Perbezaan dimensi, Y16ZR lebih pendek 15mm, kurang lebar 40mm dan lebih rendah 25mm daripada VF3i Pro yang menjadikan model Yamaha itu tampil lebih kompak. Bagaimanapun, kedua-dua model memiliki jarak roda (1290mm) dan jarak lega bumi (150mm) sama. VF3i memiliki ketinggian pelana 5mm lebih rendah daripada Y16ZR, beza yang tidak terlalu ketara.
Dari segi berat, VF3i Pro lebih berat 5kg berbanding Y16ZR yang secara tidak langsung mempengaruhi aspek ketangkasan pengendalian.
Kapasiti tangki 7 liter dimiliki VF3i Pro pula lebih besar daripada Y16ZR (5.4 liter). Jika isian penuh tangki Y16ZR mampu pergi sejauh 256km, maka jarangan tunggangan VF3i pastinya lebih jauh.
TAYAR, SUSPENSI & BREK: Y16ZR ADA A&S, VF3i PRO ADA ABS
Kedua-dua supermoped menggunakan frem sama, backbone, dan sistem henti sama, yang disandarkan kepada brek cakera tunggal dengan kaliper brek 2-piston (Y16ZR - cakera 245mm, VF3i Pro - cakera 250mm) di depan dan cakera tunggal di belakang. Begitu juga sistem suspensi, dua model itu dipasangkan fork teleskopik (depan) dan monoshock (belakang), termasuk saiz tayar sama, 90/80-17 (depan) dan 120/70-17 (belakang).
Bagaimanapun, VF3i Pro satu-satunya kapcai (di Malaysia) yang dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). Walaupun Y16ZR tiada ABS, tetapi kapcai Yamaha itu diberikan ciri klac antigelincir Assist & Slipper (A&S) yang tiada pada model lawan tersebut. Mana satu pilihan anda?
BACA >>> #TahukahAnda: Tentang Teknologi Klac Assist & Slipper (A&S) yang Perlu Anda Tahu
LUARAN: Y16ZR GUNA LED PENUH, VF3i PRO GAYA KONSERVATIF
Y16ZR ditawarkan dalam tiga warna pilihan: Phantom Grey (kelabu), Arrow Blue (biru) dan Racing Yellow (kuning) dengan rekaan grafik minimal. VF3i Pro pula menawarkan pilihan warna merah, biru dan emas dengan rim emas yang menyerlah lagi penampilan.
Garis badan Y16ZR nampak lebih moden, manakala gaya VF3i Pro lebih agresif dengan banyak lekuk tajam. Antara komplen diajukan, panel kepala Y16ZR nampak seakan kepala angsa menunduk, manakala lampu utama VF3i Pro pula nampak keterlaluan seperti mata sedang terjegil.
Tepuk dada tanya selera!
Kedua-dua model menampilkan rekaan lampu belakang LED, termasuk lampu signal belok yang mengambil ilham gaya sportbike kuasa besar. Lampu belakang Y16ZR direka kompak dan tirus yang nampak kecil daripada panel belakang, manakala lampu belakang VF3i Pro dimuatkan penuh pada panel belakang.
Kedua-dua model menggunakan lampu siang (DRL) yang diposisikan pada panel depan. Y16ZR menggunakan lampu utama LED yang dipisahkan kepada dua kluster, iaitu suluh rendah (low-beam) pada fairing kepala dan suluh tinggi (high-beam) pada fairing dada, di bawah unit DRL. Lampu signal belok pula ditempatkan tepi fairing sisi.
VF3i Pro menggunakan gaya lampu utama konvensional, iaitu pada fairing kepala dan fairing dada, yang kedua-duanya daripada jenis mentol halogen. Unit LED cuma digunakan pada lampu DRL, signal belok dan lampu belakang. Alasan SYM masih menggunakan mentol pada lampu utama adalah supaya pemilik tidak perlu menukar set lengkap jika berlaku kerosakan.
Kedua-dua supermoped ini menggunakan pelana jenis terpisah yang mana tempat duduk pembonceng lebih tinggi daripada penunggang supaya sesuai dengan posisi peg kaki masing-masing. Tiada isu mengenai rekabentuk pelana dua model berkenaan, memang nampak sporty dan selesa.
PANEL METER: Y16ZR GUNA DIGITAL PENUH, VF3i GUNA ANALOG-DIGITAL
Panel meter Y16ZR menggunakan skrin LCD digital monoton hitam-putih, manakala VF3i Pro menggabung paparan digital dan analog berwarna. VF3i nampak lebih trendy, Y16ZR agak oldskool. Kami jangka Y16ZR edisi facelift akan tampil dengan LCD berwarna. Mungkin tahun depan.
HARGA: Y16ZR LEBIH MAHAL, VF3i LEBIH MURAH
- Yamaha Y16ZR - RM10,888 (atas kertas, tanpa insurans dan cukai jalan)
- SYM VF3i Pro - RM9,338 (atas kertas, tanpa insurans dan cukai jalan)
Secara ringkas, VF3i Pro bukan saja lebih berkuasa, tetapi masih tetap lebih murah berbanding Y16ZR. Kapcai SYM menawarkan ciri ABS yang sangat berguna untuk keselamatan pengguna, manakala model Yamaha menawarkan ciri A&S dan VVA yang menjanjikan keseronokan menunggang dan kelancaran prestasi.
Setiap model menampilkan rekabentuk tersendiri yang boleh didebatkan. Namun dari segi reputasi jenama, Y16ZR pastinya lebih superior. Menunggang sebuah jentera berjenama Yamaha dari Jepun pastinya tidak sama dengan jenama dari Taiwan. Tapi bagi sesetengah orang, apa ada pada nama kalau hati tidak bahagia.
BACA >>> Honda RS150R (2020) Facelift yang Lebih Sporty Rasmi Dilancarkan, Harga Mula RM8.2k
BACA >>> Honda Winner X 160 Mampu Cabar Yamaha Exciter 155 VVA?
Jamal Husairi says
Y16zr lebih pada vva system kalau vf3i ada system seperti vva here to tak laju model lain.