HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) sebentar tadi melancarkan supermoped generasi baharu dipanggil Y16ZR VVA (2021) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada harga asas RM10,888 (atas kertas).
Model bertemakan 'Prestasi Terunggul' ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna: kuning, perak dan biru berbanding empat opsyen warna pada Y15ZR sebelum ini.
Berikut perincian Y16ZR VVA (2021):
- Menggunakan trenkuasa 4-lejang silinder tunggal 155cc SOHC VVA penyejukan cecair dengan teknologi suntikan bahan api berkuasa 17.7hp @ 9,500rpm dan tork 14.4 Nm @ 8,000rpm serta dipadankan transmisi manual 6-kelajuan.
- Dilengkapi ciri klac antigelincir Assist & Slipper (A&S) yang jarang ditawarkan dalam segmen kapcai bawah 200cc pemasangan tempatan (CKD).
- Menggunakan sistem kunci pintar dan soket kuasa 12V untuk mengecas peranti pintar seperti telefon pintar.
- Sistem brek menggunakan brek cakera pada kedua-dua roda. Sama seperti versi Vietnam tiada Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) disediakan.
- Rekabentuk menampilkan gari badan lebih sporty yang mengambil ilham gaya superbike YZR-R1 untuk membantu meningkatkan faktor aerodinamik dan mengurangkan kesan seretan angin ketika menunggang. Pelana lebih menjungkit ke belakang berbanding Y15ZR, manakala ekzos diposisikan lebih rendah.
- Ada lampu siang (DRL) seperti kening mata pada fairing depan, manakala sistem pencahayaan menggunakan LED penuh untuk lampu depan, lampu belakang dan signal belok.
- Kluster instrumen jenis LCD digital penuh dengan paparan spidometer, takometer, posisi gear, jarak tunggangan, bar petrol dan set indikator petunjuk serta amaran.
- Saiz tangki minyak dipertingkat kepada 5.4 liter berbanding 4.2 liter sebelum ini. Isian tangki minyak penuh mampu mencapai jarak tunggangan maksimum 256km.
- Setiap pembelian dipakejkan bersama waranti dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana satu tiba dulu). HLYM mengesahkan model baharu ini boleh didapati di semua wakil pengedar bermula 31 Mac ini.
BACA >>> Perbandingan: Yamaha Exciter 155 VVA (2021) vs Yamaha Y15ZR V2 (2020)
BACA >>> Harga Yamaha Exciter 155 VVA Melonjak Tinggi di Vietnam, Stok Semakin Terhad
Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Bhd, Datuk Jim Khor berkata, pandemik Covid-19 yang melanda tidak menjejaskan industri motosikal. Y16ZR dibangunkan berasaskan hasil kajian dan penyelidikan (R&D) mengikut permintaan pelanggan dan segmen pasaran selain aktiviti berkaitan seperti konvoi.
“Y15ZR atau Waisuku ialah model paling laris di Malaysia dan saya yakin ia akan berterusan dalam kelas 155cc. Model baharu ini ada DNA Yamaha iaitu prestasi, inovasi dan gaya. Inilah motosikal paling berkuasa dalam kelasnya."
“5,000 pembeli pertama akan terima key pouch (beg kunci) istimewa. Kami juga akan menawarkan aksesori eksklusif Y Series dalam masa terdekat." katanya
Jim Khor berkata lagi, model lama Y15ZR akan terus jual bersama Y16ZR. Kedua-dua model itu akan dijual secara berasingan kerana masih ada permintaan daripada pelanggan.
Leave a Reply