NISSAN GT-R ini ialah model baharu yang ditambah dalam aset kenderaan milik pasukan militari Pengawal Republik Kebangsaan (GNR) di Portugal. Uniknya, supercar Jepun ini tidak digunakan untuk tujuan rondaan jalan raya, tetapi sebagai kenderaan khas untuk menghantar organ manusia.
Model diperoleh ini adalah unit kenderaan rampasan disabitkan kes perundangan, dan akan dijadikan kenderaan pengangkutan khas untuk perkhidmatan penghantaran organ manusia ke hospital di bandar Porto dan Lisbon.
GNR menjelaskan, masa sangat penting bagi perkhidmatan penghantaran organ kerana melibatkan kualiti dan keselamatan. Jika lewat tiba, kebarangkalian organ tersebut rosak adalah lebih tinggi, sekali gus berisiko menjejaskan peluang penerima organ itu menikmati hidup baharu.
Sehingga kini GNR sudah menghantar 2,836 organ dengan bantuan hampir 5,700 anggota militari yang melibatkan jarak perjalanan lebih 500,000km sejak 10 tahun lalu.
Ada dua unit kereta baharu diterima GNR, tetapi tiada maklumat didedahkan mengenai pemilik sebenar kenderaan rampasan tersebut yang dilaporkan mempunyai kaitan dengan masalah percukaian.
GT-R dijana enjin 3.8L V6 turbo kembar dengan sistem transmisi dual-klac (DCT) 6-kelajuan berkuasa 550hp dan tork 632Nm. Model itu mampu memecut pada kelajuan maksimum 315kmj, dengan pecutan 0-100km sepantas 2.8 saat.
Sebenarnya setiap negara ada cara tersendiri menguruskan kenderaan rampasan. Di Filipina misalnya, kenderaan dirampas akan dilupuskan sama sekali walaupun berstatus mewah yang boleh digunakan semula. Sesetengahnya akan melelong kenderaan rampasan dan hasil lelongan akan mengisi kantung kewangan pihak berkuasa berkenaan. Ada pun menyimpan kenderaan tertentu sebagai kereta rasmi ketua jabatan atas urusan rasmi.
Di Malaysia, pihak berkuasa kita biasanya akan melelongkan kenderaan yang dirampas sama ada sebagai unit lupus, atau boleh dipandu semula.
BACA >>> Nissan GT-R NISMO (2021) Berkuasa 600hp Kini di Amerika dengan Harga RM877k!
BACA >>> Restorasi Nissan Skyline GT-R Ini Mungkin Paling Mahal di Dunia, Cecah RM1.75 Juta
SUMBER: Facebook | Car and Driver |Tabonito
Leave a Reply