FERRARI 288 GTO Evoluzione 1986 adalah antara model Ferrari paling 'rare' pernah dihasilkan dan ramai orang terlepas pandang kewujudannya. Jentera itu pernah disebut sebagai prototaip sebenar pertama bagi model F40.
Hanya enam unit Ferrari 288 GTO Evoluzione dibikin dan satu daripadanya akan membuat penampilan di acara Monterey Car Week di Amerika Syarikat, minggu ini, manakala satu unit lagi memasuki senarai jualan oleh pengedar kereta eksotik di England, Talacrest 2000 Ltd. Namun, status 'rare' 288 GTO Evoluzione bukanlah diraih semudah hamburan kuasa 650hp daripada berenjin pengecajturbo-kembar jentera itu.
Kisahnya begini, pada 1980-an, Kejuaraan Rali Dunia (WRC) mempunyai siri perlumbaan kategori Grup B yang disertai kereta-kereta rali berkuasa tinggi, pantas dan sofistikated. Ferrari antara sekian banyak pengeluar automotif yang menyertai siri perlumbaan tersebut menerusi jentera versi khas 308 GTBi, iaitu 288 GTO.
BERKUASA 650HP
Bagaimanapun, ketika Ferrari sedang serius membangunkan 288 GTO dan kemudian berevolusi menjadi Evoluzione dengan rekabentuk badan Pininfarina, tiba-tiba satu kemalangan maut berlaku yang mengorbankan seorang pemandu WRC dan pembantunya.
Melihat pula kelajuan Ferrari 288 GTO Evoluzione sepantas 370kmj yang berisiko mengundang bahaya, WRC akhirnya memutuskan membatalkan kategori Grup B dan sejak itu semua jentera - 272 buah - yang dibikin khas untuk siri rali itu tidak pernah lagi memasuki trek lumba, sebaliknya cuma kekal sebagai kereta atas jalan.
Ferrari 288 GTO didatangkan dengan enjin 2.9L V8 pengecaj turbo-kembar berkuasa 400hp. Namun, hamburan turbo Ferrari 288 GTO Evoluzione mampu meledakkan kuasa hingga 650hp. Seperkara lagi, spoiler gergasi di belakang adalah daripada material gentian karbon dan ia diguna pakai pada 1986!
Penggunaan material ultra ringan turut membantu meringankan berat Ferrari 288 GTO Evoluzione kurang daripada 1 tan, iaitu 952kg, sekali gus memaksimmkan potensi prestasi enjin. Semasa insiden tragis terjadi, Ferrari baru saja menghasilkan enam unit kereta berkenaan dan terpaksa menghentikan pengeluaran model tersebut.
Mahu memiliki jentera rare ini? Setakat ini, jangkaan harga adalah kira-kira AS$2 juta (RM8 juta) sahaja. 😛
GALERI
KREDIT FOTO: Talacrest.com
Leave a Reply