SUZUKI sepatutnya memperkenalkan warna baharu pada Katana pada Mac lalu tetapi rancangan itu tergendala berikutan krisis penularan Covid-19 yang melanda dunia. Akhirnya Katana Limited Edition dengan warna baharu itu rasmi dilancarkan di Jepun yang akan dijual pada harga 1,595,000 yen (RM62,300).
Model edisi terhad itu didatangkan 100 unit sahaja dalam warna Candy Darling Red (merah). Bahagian rim aloi turut dimerahkan, manakala enjin, panel badan tengah dan swingarm dicat hitam kusam. Selain itu, Suzuki juga menggunakan kemasan emas pada fork depan dan bar hendal.
Warna baharu itu juga adalah tambahan kepada pilihan sedia ada, iaitu Mystic Silver Metallic (perak) dan Glass Sparkle Black (hitam) yang dijual pada harga 1,540,000 yen (RM60,150)
Menurut Suzuki Japan, Katana dengan warna Candy Darling Red ialah model paling popular dalan tinjauan dilakukan pengeluar itu, tahun lalu di Pameran Motosikal WEB Suzuki. Tempahan warna baharu itu boleh dibuat secara atas talian menerusi laman jualan Suzuki, 'S-MALL' berdasarkan siapa cepat dia dapat bermula pada 11 Janurari ini jam 3 petang
Menyempurnakan penampilan Katana edisi terhad itu ialah sulaman benang merah pada pelana.
Walaupun perubahan luaran terhad, Katana ini kekal menggunakan enjin 4-lejang 4-silinder sebaris 998cc DOHC penyejukan cecair berkuasa 146hp @ 10,000rpm dan tork 107Nm @ 9,500rpm, dengan klac manual sirat malar (constant mesh) 6-kelajuan.
Naked bike ini juga masih menggunakan komponen sama seperti fork terbalik (USD) boleh laras penuh KYB 43mm. Begitu juga dengan kluster instrumen digital penuh, dan lampu utama LED dengan lampu siang (DRL) LED.
BACA >>> #RetroAuto: Tentang Sejarah Suzuki Katana yang Perlu Anda Tahu
BACA >>> Suzuki Katana 125R Debut Tahun Depan?
Leave a Reply