HONDA Motor Co kelmarin memanggil balik 1.79 juta unit kenderaan jenama itu di seluruh dunia dalam empat kempen berasingan, termasuk beberapa unit yang dilaporkan terbabit kebakaran.
Di Amerika Syarikat (AS), kempen panggil balik itu melibatkan 1.4 juta unit kenderaan. Satu kempen panggil balik membabitkan 268,000 unit CR-V (2002-2006) di AS untuk menggantikan suis utama tingkap kuasa. Menurut Honda, setakat ini tiada insiden kecederaan berlaku, tetapi terdapat 16 kes kebakaran dilaporkan ada kaitan dengan isu berkenaan.
Honda sudah mula melancarkan kempen panggil balik atas isu suis utama tingkap kuasa utama pada 2012. Panggil balik terbaharu ini adalah respons kepada masalah suis rosak akibat kelembapan selepas kempen baik pulih pertama dulu.
Honda juga memanggil balik kira-kira 735,000 unit Accord dan Accord Hybrid (2018-2020) serta Insight (2019-2020) di AS untuk mengemas kini perisian Modul Kawalan Badan (BCM). Ini kerana masalah pemprograman yang berlaku menyebabkan beberapa indikator amaran menyala, manakala beberapa komponen elektronik gagal berfungsi seperti paparan kamera pandang belakang, signal belok dan wiper cermin.
Honda turut mengeluarkan dua notis panggil balik membabitkan 430,000 unit kenderaan di AS untuk menggantikan syaf pacu (driveshaft) depan yang berisiko patah kerana masalah kakisan. Tiada kecederaan dilaporkan yang ada kaitan dengan kempen panggil balik tersebut.
Bagaimanapun menurut Honda, stok alat ganti baik pulih tidak tersedia sepenuhnya untuk semua kenderaan yang terlibat dalam kempen panggil balik syaf pacu. Panggil balik adalah melibatkan Civic Hybrid (2012), Fit (2007-2014) dan Acura ILX (2013-2015), Acura ILX Hybrid (2013) dan Accord (2013-2015).
Setakat ini, tiada laporan kemalangan dilaporkan berhubung kegagalan syaf pacu dan perisian model.
BACA >>> 9 Fakta Pantas: Honda CR-V Facelift Lancar di Thailand, Kini dengan Pilihan 7-Kerusi
BACA >>> Masalah Pam Bahan Api: Honda Malaysia Panggil Balik, Lebih 55k Unit Terlibat!
SUMBER: AstroAwani
Leave a Reply