TAHUKAH anda perlumbaan antarabangsa seperti GT3 mempunyai spesifikasi khas kereta lumba? Spesifikasi atau syarat tersebut mengehadkan beberapa aspek seperti kuasa kuda, berat, pengurusan enjin dan aerodinamik.
Tujuannya supaya tiada pengeluar mendominasi sesebuah kelas perlumbaan. Ini kerana jika spesifikasi dibiarkan tanpa had, cuma pasukan kaya mampu buat apa saja untuk kereta mereka.
Berbeza pula Ferrari apabila mengeluarkan kereta yang tidak peduli peraturan ditetapkan. 488 GT Modificata ialah model edisi terhad yang dibangunkan menggunakan teknologi yang dikhaskan untuk 488 GT3 dan 488 GTE. Ia sengaja dibangunkan begitu supaya bebas berkuasa dan dibuat eksklusif untuk perlumbaan hari litar (track day) dan program Ferrari Club Competizioni GT.
Apakah yang menarik tentang 488 GT Modificata?
BACA >>> Dua Jam Saja Hantar Ginjal Derma Sejauh 480km dengan Lamborghini Huracan!
1. Trenkuasa Perlumbaan
Dalam istilah Ferrari, Modificata bermaksud rekabentuk yang dievolusi untuk prestasi lebih baik. Justeru Ferrari memaksimumkan prestasi cemerlang dimiliki 488 GT3 dan 488 GTE dengan melakukan beberapa pengubahsuaian dan membangunkan teknologi baharu yang tidak lagi tertakluk kepada syarat Keseimbangan Prestasi (Balance of Performance) ditetapkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
Enjin 3.9L Twin-Turbo V8 menggunakan komponen khas dan bahan daripada enjin perlumbaan dengan ledakan kuasa sekitar 690hp berikutan pemetaan prestasi tinggi. Kotak gear turut dipertingkat dengan nisbah transmisi baharu dan klac gentian karbon. Penukaran itu membantu menguruskan peningkatan kuasa dan daya tork daripada enjin.
2. Aerodinamik Diperbaharui
Ciri aerodinamik 488 GT Modificata diperbaharui dengan mengalih pusat tekanan ke depan. Kaedah itu membolehkan dayamendap (downforce) dijana lebih tinggi pada bahagian depan tanpa meningkatkan seretan keseluruhan, sekali gus menjadikan jentera lebih cekap dan sensitif kepada perubahan sudut sayap belakang.
Badan kereta pula dibuat daripada gentian karbon, sama seperti 488 GTE, kecuali bumbung aluminium. Pakej aerodinamik yang dibuat menjana lebih 1,000kg dayamendap pada 230kmj.
3. Pengendalian dan Sistem Brek Dipertingkat
Suspensi 488 GT Modificata sama seperti 488 GTE, manakala sistem henti dibangunkan dengan kerjasama Brembo. Sistem Brek Anti-Kunci daripada 488 GT3 Evo 2020 yang ditala khas.
4. Data Pemanduan dan Ciri Praktikal
488 GT Modificata menggunakan sistem perolehan V-Box dengan kombinasi sistem perolehan data telemetri Bosch. Sistem tersebut membolehkan data dimuat turun terus ke USB.
Bagi memudahkan pemandu, walaupun dibina untuk trek, tetapi tetap dilengkapi ciri praktikal seperti kamera undur resolusi tinggi, kerusi kedua dan Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS) untuk menyukat suhu dan tekanan tayar.
5. Gabungan Model Hebat
488 GTE digunakan untuk Kejohanan Enduran Dunia,manakala 488 GT3 pula membawa saingan hebat dalam perlumbaan GT. Kedua-duanya adalah antara model paling berjaya dalam sejarah perlumbaan Ferrari.
488 GT3 mencatatkan lebih 350 kemenangan dan 630 podium pada perlumbaan kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Kejuaraan Enduran Dunia FIA bagi kategori Pengeluar, Pemandu dan Pasukan. 488 GTE pula berjaya dalam kejuaraan 24 Hours of Le Mans dan Petit Le Mans.
6. Bukan Semua Orang Boleh Beli
Sama seperti model Ferrari lain, 488 GT Modificata boleh dipesan mengikut selera pembeli. Bagaimanapun bukan semua orang boleh membelinya.
Pada peringkat awal 488 GT Modificata hanya ditawarkan kepada pemandu yang sebelum ini pernah mengambil bahagian dalam program Competizioni GT bersama Ferrari atau Club Competizioni GT.
7. Club Competizioni GT
488 GT Modificata akan digunakan untuk program acara litar Ferrari, Club Competizioni GT. Objektif program itu adalah menjadi platform kepada model tersohor Ferrari daripada model F40 Competizione hingga 488 GT3 dan GTE.
Pada musim 2021, pelanggan berpeluang mengambil bahagian dalam lima acara litar dan merasai pengalaman jentera mereka dan antara litar terlibat ialah Monza, Suzuka dan Nurburgring.
BACA >>> Ferrari Omologata Milik Pelanggan Eropah Ini Hanya Ada Satu Unit Sahaja di Dunia
Leave a Reply