SEDIA maklum, PT Astra Honda Motor (AHM) selaku pengedar rasmi jenama Honda Indonesia telah melancarkan debut antarabangsa Honda CBR250RR, baru-baru ini.
Semalam, tim PanduLaju berkesempatan mendekati jentera ini di Pameran Permotoran Antarabangsa Indonesia Gaikindo (Gaikindo Indonesia International Auto Show 2016 – GIIAS2016). Ternyata, Honda CBR250RR mampu memukau sesiapa saja yang mendekatinya.
Menurut AHM, pasaran Indonesia bakal menerima model ini bermula November 2016. Setakat ini, pihaknya sudah menerima 1,200 unit tempahan dalam tempoh masa dua minggu. Wow!
HARGA: (Anggaran)
- Honda CBR250RR 2017 ABS – Rp70 juta (RM21,689.90)
- Honda CBR250RR 2017 non-ABS – Rp65 juta (RM20,140.62)
3 WARNA PILIHAN
- Honda Racing Red
- Anchor Graymetallic
- Mat Gunpowder Black Metallic
Pembangunan Honda CBR250RR dikembangkan berasaskan falsafah Honda dalam merekabentuk jentera supersport yang berpaksikan motosikal perlumbaan tertinggi.
Lebih menarik, AHM turut menawarkan 10 item tulen Honda CBR250RR seperti pad tangki, pelindung radiator, penutup (cowl) kerusi tunggal, fender penyisih (eliminator fender), sirip aero, pelindung tangan, fender karbon depan, hugger karbon, penutup atas tangki karbon dan pelindung mafler karbon.
UNIT KUASA
Honda CBR250RR dilengkapi enjin generasi baru kompak; 250cc, penyejukan cecair, 4-injap, DOHC dan 2-silinder. Pembangunan dibuat hasil kolaborasi antara pasukan jurutera Jepun dan Indonesia sebelum dikeluarkan di kilang AHM Karawang. Karakter enjin sentiasa di paras optimum pada keseluruhan putaran enjin dengan raungan ekzos memberikan sensasi ketika menikmati pecutan.
Banyak teknologi digunakan bagi menghasilkan enjin kompak seperti meletakkan gear pemacu primer dalam rantai aci (cam chain), pam minyak di sisi kanan bersepadu dengan enjin, saluran pernafasan enjin di belakang silinder, dan pam air di kepala silinder seperti diterapkan pada Honda RC213V. Lebar enjin 2-silinder hampir sama dengan enjin 1-silinder. Bahagian penting lain ialah ambilan udara alir turun (downdraft air intake). Pembersih udara dipindahkan dari posisi biasa di belakang silinder ke atas silinder.
BILA NAK MASUK PASARAN MALAYSIA?
Buat masa ini, pihak Boon Siew Honda tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai Honda CBR250RR. Sama ada akan bawa masuk atau tidak, itu masih belum pasti. Bagaimanapun, kami akan sampaikan kepada pembaca PanduLaju sebaik menerima maklumat berkaitan jentera ini. Begitu juga dengan harga, kami mengharapkan ia tidaklah dijual pada harga terlalu mahal.
Leave a Reply